MUSLIM (kiri) dan Danish muncul juara kategori roket air Pertandingan Robotik Dunia di New Delhi. FOTO ihsan Muslim Tamsir
Redzuan Muharam


PERCUBAAN sulung guru Sekolah Kebangsaan (SK) Tun Hussein, Kuala Lumpur, Muslim Tamsir, 38, dan anaknya Danish Irfan, 12 menyertai Pertandingan Robotik Dunia di New Delhi, India, 26 September lalu tidak sia-sia apabila muncul juara kategori roket air, sekaligus menewaskan 30 pasukan lain.

Kemenangan menerusi ciptaan roket air itu melayakkan Muslim dan Danish Irfan membawa pingat, piala dan wang tunai 60,000 rupee (RM3,561).

Menurut Muslim , kemenangan itu amat bermakna buat mereka selepas sekian lama berusaha untuk mengharumkan nama negara di peringkat antarabangsa.

“Sebenarnya, kami tidak menjangkakan akan mara ke pusingan akhir pada mulanya kerana tidak berpuas hati dengan pencapaian ketika di peringkat saringan.

“Namun, rezeki menyebelahi kami apabila berjaya mara ke peringkat akhir selepas tersenarai dalam kelompok 10 terbaik dan cabarannya adalah bersaing dengan peserta dari penuntut dan univeriti lain yang umurnya jauh lebih dewasa daripada Danish Irfan,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Guru subjek Sains, Teknologi Maklumat dan Telekomunikasi itu berkata, antara bahan digunakan untuk mencipta inovasi itu adalah adalah pita pelekat, plastesin, papan beralun dan botol air karbonot yang boleh menampung isipadu sehingga dua liter.

“Semuanya bahan itu dibawa dari Malaysia dan saya gunakan brek basikal untuk memastikan pelancar berkenaan tidak bergerak apabila roket dilepaskan.

“Ikutkan, ciptaan pasukan lain tidak kurang hebatnya malah mereka memberi saingan yang sengit pada pusingan akhir tetapi kekuatan kami adalah kerana pelancar roket dicipta lebih stabil dan kukuh ,” katanya.

Dalam pada itu, penerima anugerah guru inovatif pada 2015 berharap kejayaan diraih memberi motivasi dan meningkatkan keyakinan kepada Danish Irfan yang juga anak sulung daripada empat beradik untuk berhadapan dengan cabaran lebih besar pada masa akan datang.

“Tujuan sebenar saya membawanya menyertai pertandingan berkenaan adalah untuk membantunya membina keyakinan diri dengan bersaing di peringkat lebih tinggi kerana sebelum ini, dia hanya bertanding di dalam negara saja.

“Alhamdulillah, kami berdua terpilih mewakili negara pada tahun ini dan kemengan ini hanyalah permulaaan kerana perjalanan masih jauh.

“Kalau boleh, saya mahu dia (Danish Irfan) terus berlatih membina roket, pada masa mencari kekuatan serta memperbaiki kelemahan yang ada,” katanya yang memasang impian untuk mencipta nama dalam Malaysia Book of Records (MBOR).

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 September 2019 @ 9:39 PM