ANGGOTA bomba membantu mengeluarkan mangsa. FOTO Ihsan Bomba.
Muhammad Apendy Issahak


DUA pemandu maut selepas kereta dipandu masing-masing bertembung di Kilometer 104.1 Jalan Kuala Kangsar - Gerik - Pengkalan Hulu dekat sempadan Kerunai dan Kampung Jong di Gerik, malam tadi.

Kejadian 8.30 malam itu, mengakibatkan pemandu kereta Naza Suria, Mohamad Najib Ahmad Radzi, 36, meninggal dunia di tempat kejadian, manakala pemandu Honda Civic, Tou Ngean Kooi, 49, meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Gerik pada 12.50 tengah malam.

Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Ismail Che Isa berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kemalangan itu pada 9.10 malam dan siasatan awal mendapati Tou yang bekerja di kilang tayar di Taiping memandu dari arah Gerik, manakala Mohamad Najib yang juga peniaga dari arah bertentangan.

“Apabila tiba di tempat kejadian, kereta dipandu Tou dipercayai hilang kawalan dan masuk ke laluan bertentangan menyebabkan berlanggar dengan kereta dipandu Mohamad Najib.

“Perlanggaran mengakibatkan pemandu Naza Suria yang parah di dada dan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala seorang lagi pemandu disahkan meninggal dunia ketika dalam rawatan kerana parah di kepala,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, siasatan di lokasi mendapati jalan berkenaan adalah jalan dua hala dan berselekoh selain basah kerana hujan.

Beliau memberitahu kes disiasat mengikut mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 September 2019 @ 11:39 AM