AKAUn twitter Tunku Azizah kembali aktif selepas hampir sebulan. FOTO Twitter & NSTP
Alias Abd Rani


“PAGI tadi (kelmarin) terserempak dengan Mishary Rashid, sewaktu menghantar Afzan n Ahmad balik London masuk U.

“Rasa amat bertuah dpt berjumpa dgn ‘the voice’.... i was stopped by a group of Arabs, n what an honour!,” itu status terbaru Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah selepas hampir sebulan menyahaktif akaun Twitter baginda, baru-baru ini.

Status itu dimuat naik Ahad lalu di Twitter kemudian dikongsikan dalam Instagram baginda ketika terserempak dengan Shaikh Mishary Rashid Ghareeb Mohammed Rashid Al-Afasy seorang imam yang terkenal dengan suara merdu.

Tunku Azizah meluangkan masa beramah mesra dengan Shaikh Mishary Rashid Ghareeb Mohammed Rashid Al-Afasy dan baginda dilihat memainkan bacaan al-Quran Imam kelahiran Kuwait itu menerusi telefon bimbit.

Dalam pertemuan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) itu, Tunku Azizah mengakui baginda terpesona dengan kemerduan suara imam terbabit sambil berdoa semoga Allah memelihara Shaikh Mishary Rashid.

Tunku Azizah turut memuatkan naik beberapa lagi status, antaranya menyertai majlis reunion Sekolah Perempuan Sultan Ibrahim di Johor Bahru.

Sebelum ini, Tunku Azizah menyahaktifkan akaun Twitternya kerana terdapat segelintir netizen mengeluarkan komen negatif mengenai perkongsian baginda.

Namun, ada netizen sedih malah menyelar segelintir netizen lain yang mengeluarkan komen jelik disifatkan sebagai menghina institusi beraja dan meminta pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) segera mengambil tindakan.

Beberapa hari selepas itu, Tunku Azizah mengaktifkan semula akaunnya dengan bertitah, keputusan itu (menyahaktif akaun Twitter) bukan disebabkan sedih dengan komen dibuat warganet, sebaliknya atas sebab-sebab peribadi.

“Tapi hari ini, saya sangat kecewa apabila pihak polis telah menangkap beberapa individu. Selama bertahun, Tuanku dan saya tidak pernah membuat laporan polis kerana kata-kata tidak baik mengenai kami. Ini negara bebas,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Oktober 2019 @ 6:04 PM