BADARUDIN (kiri) dan Timbalan Komander Pasukan Polis Marin Wilayah 2 Superintendan Noor Azman Jamal berganding tangan dalam usaha memerangi dadah rentas sempadan.
Skuad Khas Harian Metro


MUAR: Permintaan tinggi dan harga pasaran mencecah tiga kali ganda berbanding Malaysia menjadikan Indonesia antara syurga kartel penyeludupan dadah antarabangsa.

Dadah jenis sintetik terutama syabu yang dipercayai diseludup dari Thailand menggunakan negara ini sebagai transit sebelum ia diedarkan ke negara lain termasuk Indonesia dan Australia.

Dalam serbuan terbaharu, minggu lalu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) merampas 12 tan kokain bernilai RM2.4 bilion yang dicampur dengan 69 tan arang batu dan dimuatkan dalam tiga kontena sebelum berjaya dikesan di pelabuhan Pulau Pinang.

Nilai dan bahan rampasan terbabit dianggap paling tinggi dalam sejarah era permodenan PDRM.

Bahan larangan itu dipercayai untuk pasaran luar kerana pasaran tempatan kini lebih kepada syabu. Kokain popular di benua Amerika dan ia dipercayai diseludup dari negara Amerika Latin.

Setakat ini, tidak diketahui kenapa sindiket dadah antarabangsa membawa begitu banyak kokain sedangkan ia kurang popular di Asia.

Direktorat Polisi Air dan Udara (Ditpolairud) Polda Riau Kombes (Komandan Besar) Badarudin dalam temu bual khas bersama Harian Metro menegaskan, pihaknya mengesan banyak kes penyeludupan dadah dari Malaysia ke Indonesia.

“Ditpolairud sahaja sudah kesan dua kes penyeludupan dadah baru-baru ini dan itu tidak termasuk kes dikendalikan jabatan narkoba (narkotik) Indonesia.

“Mereka (sindiket) guna laut Malaysia untuk seludup dadah ke negara kami,” katanya mengakui, harga dan permintaan tinggi menjadikan Indonesia sebagai sasaran.

Harga terkini sekilogram syabu di Malaysia adalah RM50,000 atau RM50 segram tetapi di Indonesia, harganya mencecah RM150,000 sekilogram atau RM150 segram.

Badarudin berkata, siasatan pihaknya mendapati sindiket penyeludupan dadah yang mendapat bekalan dari Thailand menjadikan Malaysia sebagai transit sebelum menyeludupnya ke Indonesia.

“Selain pintu masuk udara, sindiket turut guna laut Malaysia untuk seludup (dadah) ke negara kami,” katanya.

Menurutnya, bagi mengekang kegiatan penyeludupan bukan sahaja dadah sebaliknya pemerdagangan orang dan haiwan dilindungi, kerjasama antara agensi penguatkuasaan dari kedua-dua negara akan sentiasa dilakukan.

“Lebih penting, pertukaran maklumat risikan dan merancang strategi bersama. Contohnya, jika ada penjenayah dari Indonesia lolos ke Malaysia kami segera sampaikan kepada PPM dan begitu juga sebaliknya supaya penjenayah dapat ditangkap,” katanya.

‘Kami akan hancurkan mereka’

KUALA LUMPUR: Putuskan bekalan! Itu misi dan fokus utama Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman dalam membanteras kegiatan penyeludupan dadah antarabangsa yang menjadikan Malaysia sebagai laluan atau transit sebelum dieksport ke negara ketiga.

Pengarah JSJN Bukit Aman Datuk Mohd Khalil Kader Mohd berkata, misi itu dijayakan dengan penjenamaan semula satu pasukan khas bawah jabatannya dinamakan sebagai Secretariat Drug Nuclears Team.

“Sejak saya ambil alih pimpinan JSJN, pasukan ini kita revamp misi dan visinya. Pasukan khas yang ditempatkan di sempadan itu juga satu cabang untuk kumpul maklumat tepat. Lebih penting, mereka juga dapat berkerjasama dengan (polis) Thailand pada masa sebenar.

“Kejayaan tumpaskan sindiket dadah di Kelantan dan Pahang adalah hasil maklumat pasukan ini,” katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, selain menumpukan pengedar, pihaknya juga menyasarkan peruncit kecil ataupun tokan dalam memutuskan bekalan.

“Ia sedang dilakukan secara berperingkat. Kami akan gegar dan hancurkan mereka, buat mereka tak senang,” katanya.

Mengulas dakwaan Direktorat Polisi Air dan Udara (Ditpolairud) Polda Riau Kombes Badarudin yang mendakwa Malaysia sebagai negara transit dadah, Mohd Khalil berkata, ia perlu dilihat sebagai isu antarabangsa bukannya bersifat nasional.

“Penyeludupan dadah datang dari pelbagai tempat, salah satunya melalui negara ini kerana Segi Tiga Emas dekat dengan tempat kita. Sistem pengangkutan pun moden, jadi orang jahat (pengedar) ambil kesempatan.

“Saya percaya dan pernah cakap, kita boleh bekerjasama dengan mereka (Indonesia) selain sentiasa bersedia bantu mematahkan cubaan masuk (dadah) ke sana. Tanpa maklumat mereka pun, kejayaan kita capai kebelakangan ini memberangsangkan,” katanya.

Mohd Khalil berkata, pihaknya serius menyelesaikan perkara berkenaan demi menjaga maruah Malaysia biarpun memiliki jumlah tenaga manusia dan teknologi terhad yang kini digunakan secara maksimum.

“Kita tidak boleh atau biar Malaysia jadi transit dadah. Jika ia berterusan bererti saya gagal. Saya serius dalam hal ini sebab itu bukan sahaja orang awam malah polis pun saya tahan,” katanya.

Katanya, dia berharap masyarakat memahami skop tugas JSJN yang memberi fokus kepada pengedar dan tokan manakala tugas menguruskan penagih dadah dikendalikan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Oktober 2019 @ 6:10 AM