MD Dali Wahid
MD Dali Wahid
Meor Riduwan Meor Ahmad


PETALING JAYA: Jawatankuasa Pengadil Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) memutuskan berlaku kecuaian di pihak penolong pengadil pada perlawanan suku akhir kedua antara pasukan Perak dan Selangor di Stadium Shah Alam, Sabtu lalu.

Berikutan itu, penolong pengadil terbabit, Azman Ismail, dikenakan penggantungan, manakala pengadil, Suhaizi Shukri mungkin hanya diberi amaran kerana mutu pengadilannya mendapat markah tinggi dalam laporan penilaian pengadil.

Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM, Md Dali Wahid berkata, keputusan dibuat selepas pihaknya memperhalusi video rakaman perlawanan itu, khususnya insiden pada minit ke-45 membabitkan gol kedua Selangor jaringan Khyril Muhymeen Zambri yang dikatakan ofsaid.

Bagaimanapun, katanya, dilihat dengan mata kasar realitinya kedudukan bola berkenaan ofsaid, tapi pihaknya tidak boleh memutuskan perkara itu berdasarkan video berkenaan.

“Saya cakap terus terang video itu tidak membantu kami dan saya tidak boleh mengatakan (bola) ofsaid atau tidak. Bagaimanapun, terdapat kecuaian dilakukan oleh penolong pengadil. Itu realitinya.

“KMemang kita sudah ulang banyak kali dan dapati memang ada kecuaian penolong pengadil, mungkin sepatutnya dia buat itu dan ini, tapi itu tidak berlaku,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Khas Jawatankuasa Pengadil FAM, di Wisma FAM, di sini, semalam.

Pada aksi Selangor dan Perak, gol kedua tuan rumah menerusi Khyril Muhymeen Zambri dipertikai apabila dikatakan ofsaid, namun dibenarkan pengadil.

Mengulas lanjut, Md Dali berkata, pihaknya turut memanggil penolong pengadil terbabit kerana dilihat teragak-agak membuat keputusan ofsaid atau tidak.

“Dia (penolong pengadil) teragak-agak membuat keputusan. Kalau awalnya dia macam nak angkat bagi ofsaid, tapi kenapa tidak buat begitu? Itu keputusan dia. Jika asal dia buat, perkara (keputusan) tidak jadi begitu.

“Tapi jelas (kedudukan) dia tidak selari dengan pemain Ifedayo (Olusegun) dan Khyril Muhymeen,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Oktober 2019 @ 5:40 AM
Digital NSTP Subscribe