BADUL (kanan) harap kebajikan cucunya yang juga anak arwah Mohd Zahir (kiri) terjaga. FOTO Arkib NSTP
Norhayati Nordin


"SAYA dengan seikhlas hati batalkan niat mahu membuat inkues itu kerana mendapat jaminan nasib cucu iaitu Ebal Zulkarnain, 9; Remy Iskandar, 8, dan Izzul Zakly berusia enam bulan terjaga dengan baik.

"Sebagai datuk, penting untuk saya memastikan masa depan mereka terus terbela hingga dewasa," kata pelakon dan pelawak veteran, AR Badul, 70, ketika dihubungi Harian Metro hari ini.

Menurut Badul atau nama sebenar, Armaya Aman Ramlie, Ebal dan Remy adalah anak Allahyarham Mejar Mohd Zahir Armaya, 36, bersama bekas isterinya, Jamilah Ismail yang kini menetap di Pekan, Pahang.

AR Badul dilaporkan menarik balik inkues bagi mencari punca kematian anaknya pada 4 September lalu.

Mohd Zahir meninggal dunia ketika melakukan demonstrasi keupayaan sempena pelancaran penubuhan Divisyen Kelima Infantri Malaysia (5 Div) di Kem Kok Lawi, Sabah.

Badul berkata, dia berubah fikiran dengan rela hati selepas memahami kronologi kejadian itu seperti yang dijelaskan oleh pengurusan kanan Tentera Darat Malaysia (TDM) dalam pertemuan selama dua jam hari ini.

Menurutnya, selepas pertemuan itu dia mengambil jalan tengah dengan memikirkan secara teliti apa terbaik buat cucunya serta nasib individu yang tertembak Allahyarham Mohd Zahir.

"Mengikut penerangan diberi, jika di pihak anak saya gagal dalam inkues itu maka segala kebajikan dan pembelaan buat cucu akan hilang.

"Bagaimanapun, jika kejadian berkenaan didapati berpunca daripada kecuaian individu yang tertembak arwah anak saya itu, nasibnya juga akan terjejas.

"Justeru, saya memikirkan Allahyarham anak saya ada keluarga, begitu juga individu berkenaan. Jadi, insentif kebajikan dan pendidikan itu lebih utama," katanya.

Pelakon filem Darah Satria itu berkata, dia juga mengucapkan terima kasih kepada semua pihak terdiri daripada pemimpin, kenamaan dan orang ramai yang bermurah hati menghulurkan sumbangan kepada balu arwah dan cucunya.

"Saya sangat terharu dengan keprihatinan diberi. Cuma, saya juga merayu kepada balu arwah supaya dapat menyalurkan sedikit bantuan sumbangan diterima kepada Ebal dan Remy," katanya.

Pada 26 September lalu, Badul dilaporkan mahu inkues dijalankan bagi mencari punca kematian arwah anaknya, Mohd Zahir.

Dia dilaporkan tidak berpuas hati dengan keputusan Lembaga Siasatan TDM bahawa kematian anaknya diklasifikasikan sebagai kemalangan dalam latihan.

Sementara itu, isteri Mohd Zahir, Nour Shafinar pula dilaporkan menyerahkan kepada keluarga Allahyarham suaminya jika mahu inkues dilakukan bagi menentukan punca kematian pegawai komando itu.

Sebagai bekas anggota tentera yang berkhidmat dalam Kor Polis Tentera, Nour Shafina, 31, memahami prosedur operasi standard (SOP) dan peraturan dalam memastikan keselamatan anggota tentera dalam setiap operasi.

Berita berkaitan

''Hak keluarga suami jalankan inkues' [METROTV]'

'Itu hak peribadi'

Saya mahu inkues kematian anak saya - AR Badul

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Oktober 2019 @ 7:31 PM