FIKRY sifatkan dirinya beruntung apabila banyak pihak percaya dengan bakatnya. FOTO : Blackpepperproduction
FIKRY sifatkan dirinya beruntung apabila banyak pihak percaya dengan bakatnya. FOTO : Blackpepperproduction
Oleh Najiy Jefri

FIGURA bernama Fikry Ibrahim ini sedang menikmati kebahagiaan dalam hidupnya. Bukan kisah cinta yang menjadi subjek utama tetapi magis yang dicipta sepanjang hampir tiga tahun menggilap bakat sebagai pelakon.

Apa tidaknya, satu demi satu tawaran hadir sekali gus mencabar kredibilitinya sebagai anak seni yang masih hijau.

Mencipta nama menerusi drama Cik Reen Ngok Ngek, Fikry bersedia menggalas setiap tanggungjawab yang diberikan asalkan naskhah itu meninggalkan impak positif.

Terbaharu, Fikry bakal menjalani penggambaran drama bersiri Rindu Yang Terlarang terbitan Zeel Production Sdn Bhd untuk siaran Astro Ria.

“Saya tidak sangka boleh sampai ke tahap sekarang. Kadangkala termenung memikirkan perjalanan hidup saya sepanjang tiga tahun ini. Begitu banyak nikmat dan kemanisan yang Allah berikan kepada saya.

“Saya selalu cakap kepada diri saya antara manusia beruntung kerana banyak pihak percaya dengan bakat saya. Terima kasih yang tidak terhingga kepada setiap individu yang mempercayai dan menyokong kerjaya seni saya selama ini.

“Kerjaya ini tidak boleh dibuat main-main. Saya sangat optimis setiap kali menerima tawaran berlakon dan akan mendalami watak sebelum masuk ke set penggambaran.

“Insya-Allah saya bakal memulakan penggambaran drama Rindu Yang Terlarang arahan Rashid Sibir. Ini pengalaman pertama bersama syarikat produksi Zeel Production dan saya akan cuba memberikan persembahan terbaik,” katanya.

Belum mengetahui gerangan heroin yang bakal digandingkan dalam drama terbabit, Fikry bagaimanapun mengakui pilihan tepat diperlukan bagi mencipta keserasian dalam setiap drama yang dibawakan.

“Saya terbuka untuk bekerjasama dengan sesiapa sahaja. Malah bersyukur kerana dipertemukan dengan heroin yang sangat membantu selama ini seperti Farah Nabilah dan Siti Nordiana.

“Saya akui untuk memilih gandingan yang sesuai bukan mudah. Ini kerana kedua-duanya perlu mempunyai hubungan dan keserasian yang baik supaya dapat menghidupkan karakter dengan berkesan.

“Saya harap gandingan dalam drama ini nanti dapat mencipta keunikan baharu sekali gus membuatkan penonton suka,” katanya.

BISNES KIAN MAJU

Selepas bergerak sebagai pelakon dan pengacara, Fikry kini mengusahakan kedai gunting rambut yang berpangkalan di Setapak, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Menurut Fikry, dia mengambil keputusan itu bagi menyediakan penyelesaian masalah dihadapinya setiap hari dan dilema wanita berhijab.

Mengakui bulan pertama pembukaan salun di Putrajaya berdepan cabaran, Fikry menjelaskan dia hampir mahu menutup perniagaan terbabit.

“Bulan pertama saya hampir putus asa kerana tiada pelanggan. Namun, masuk bulan kedua setiap hari ada pelanggan dan bisnes berjaya di kedua-dua premis.

“Tak sangka saya kini ada tujuh kakitangan. Perniagaan ini menjadikan saya lebih bertanggungjawab kerana perlu bayar gaji kakitangan setiap bulan dan memastikan segala urusan membabitkan pekerja serta kedai berada dalam keadaan baik,” katanya.

Kata Fikry, dia kini dalam persiapan mengintai peluang bisnes berbeza iaitu penghantaran makanan dan platform masakan dari rumah yang pertama bakal diperkenalkan awal tahun depan.

“Saya terpanggil untuk menyediakan perkhidmatan ini selepas melihat rata-rata yang melakukan bisnes dari rumah masih belum berjaya meski menawarkan makanan yang sedap. Jadi saya sediakan platform ini berserta penghantaran untuk membantu mereka.

“Saya percaya ramai yang suka dengan masakan dari rumah kerana rasanya yang lebih lazat. Saya harap inisiatif ini akan dipermudahkan dan berjaya,” katanya.

FIKRY bakal menyertai perlumbaan jet ski di Pattaya, Thailand pada Disember nanti.
FIKRY bakal menyertai perlumbaan jet ski di Pattaya, Thailand pada Disember nanti.

JET SKI

Beralih mengenai sukan air jet ski yang kini menjadi hobi utama, Fikry mengakui pada mulanya dia gementar untuk menyertai sukan air itu kerana bimbang berdepan kemalangan. Bagaimanapun, perasaan tidak enak itu mula hilang selepas menjalani latihan intensif.

“Setiap minggu saya akan meluangkan masa dua hari untuk menjalani latihan bagi memperbaiki cara tunggangan jet ski dan memahirkan diri. Saya berterima kasih kepada jurulatih Tarmizi, Fitri dan Naza yang banyak membantu.

“Tidak dinafikan saya dengar banyak cerita daripada pelumba mengatakan ada yang patah tulang rusuk, patah tangan dan kaki akibat tidak dapat melihat ketika arus ombak kuat. Malah ramai juga yang tercampak daripada jet ski ditunggang ketika perlumbaan.

“Jadi, setiap kali menyertai sebarang pertandingan saya akan pastikan fizikal dan mental sudah bersedia. Malah, saya juga sangat menitikberatkan kelengkapan wajib yang perlu dipakai supaya tidak terdedah dengan sebarang kecederaan serius ,” katanya.

Fikry berkata, selepas berjaya mengharungi sukan lasak itu menerusi beberapa pertandingan disertainya baru-baru ini, dia dipelawa menyertai perlawanan di Pattaya, Thailand pada Disember nanti.

“Persediaan mental, fizikal dan kemahiran sangat penting bagi memastikan tunggangan jet ski dilakukan secara sempurna supaya tidak membahayakan diri ataupun pelumba lain.

“Memang ada tawaran daripada pelumba profesional tapi saya masih berbelah bahagi kerana pelumba di sana walaupun baharu, aksi mereka sudah seperti pemain handalan. Jadi banyak aspek perlu saya fikir sebelum buat keputusan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Oktober 2019 @ 5:20 AM