GAMBAR hiasan
Mohamad Azim Fitri Abd Aziz


DITENDANG, ditampar sebelum dirogol dan diliwat tanpa belas kasihan.

Itu nasib malang menimpa seorang wanita berusia 19 tahun apabila menjadi mangsa perlakuan kejam tunangnya sendiri di sebuah bilik sewa di Paya Pulai, di Temerloh, 13 September lalu.

Difahamkan, suspek mengajak mangsa yang bekerja di sebuah pasar raya di daerah itu bersiar-siar pada waktu malam sebelum menggunakan alasan tertinggal telefon untuk mengajak wanita itu balik ke bilik sewanya.

Mangsa kemudian dikatakan ditendang di perut selain ditampar beberapa kali sebelum dirogol dan diliwat.

Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Zundin Mahmood berkata, ekoran kejadian itu, mangsa menjadi trauma dan takut untuk membuat laporan polis selepas turut diugut suspek.

“Mangsa akhirnya membuat laporan pada kelmarin dan keterangannya sudah diambil pegawai penyiasat bagi membantu siasatan.

“Wanita terbabit juga sudah menjalani pemeriksaan perubatan, keputusan yang diperoleh mendapati terdapat kesan rogol dan liwat pada mangsa,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Zundin berkata, bertindak hasil maklumat diberikan mangsa, polis menahan suspek lelaki berusia 21 tahun di sekitar Temerloh, semalam bagi membantu siasatan.

Katanya, suspek direman tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 376, Seksyen 377C dan Seksyen 377CA Kanun Keseksaan kerana merogol, meliwat dan melakukan perbuatan di luar tabii.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Oktober 2019 @ 9:41 AM