MOHD Zulqarnain cedera parah dalam kemalangan di Jalan Bemban-Tehel, dekat Jasin pada 2 September lalu. FOTO ihsan pembaca
Nur Saliawati Salberi


“KAMI sekeluarga amat berterima kasih kepada Nadia kerana membantu dan menjaga segala barangan milik adik saya sebelum diserahkan kepada pemandu ambulans.

“Kalau dia tidak terjumpa adik, mungkin pengguna jalan raya lain tidak perasaan kerana keadaan jalan di situ gelap,” kata Haslina Dorahim, 48, kakak kepada mangsa kemalangan di Jalan Bemban-Tehel, dekat Jasin pada 2 September lalu.

Dalam kejadian 10.45 malam itu, adiknya, Mohd Zulqarnain, 34, dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumah di Kampung Pulai, Serkam sebelum motosikal ditunggang dipercayai hilang kawalan dan terbabas ke bahu jalan.

Haslina berkata, dia dan keluarga hanya mengetahui adiknya itu terbabit kemalangan pada 12.30 tengah malam, selepas menerima panggilan telefon daripada Hospital Melaka.

“Ketika ditemui adik tidak sedarkan diri dan Nadia menelefon talian kecemasan untuk mendapatkan bantuan ambulans dan sanggup menunggu sehingga semuanya selesai.

“Akibat daripada kejadian itu, adik patah kaki kiri, tulang belakang, bahu dan satu tulang rusuk. Semalam dia selamat menjalani pembedahan pada rahang yang patah dan kaki,” katanya.

Sementara itu, remaja perempuan berkenaan, Norshahirah Nadia Sulaiman berkata, semasa kejadian dia yang menunggang motosikal bersama rakan, Nur Azleen Razali masing-masing berusia 19 tahun dalam perjalanan dari tempat kerja di Jasin Bestari untuk ke bandar Melaka.

Katanya, sebaik melalui lokasi kejadian, dia terpandang cahaya dari arah bahu jalan sebelum menyuruh rakannya yang membonceng untuk melihat punca cahaya.

“Apabila rakan saya memberitahu itu adalah motosikal, saya berpatah balik dan berhenti agak jauh kerana bimbang sesuatu tidak diingini. Walaupun sedikit ke hadapan kami nampak penunggang motosikal berada di dalam parit kecil tetapi takut menghampiri.

“Kami cuba menahan beberapa kereta bagi mendapatkan pertolongan namun tiada yang berhenti sebelum seorang pemandu memberhentikan kereta dan bertanya apa yang berlaku,” katanya.

Menurutnya, dia kemudian menelefon talian kecemasan dan tidak lama selepas itu pengguna jalan raya yang lain mula memberhentikan kenderaan.

“Mungkin disebabkan saya suka menoleh kiri dan kanan ketika menunggang motosikal menyebabkan terperasan mangsa kemalangan kerana di situ gelap.

“Kami lakukan ini ikhlas dan rasa tanggungjawab membantu mereka yang dalam kesulitan, ” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Oktober 2019 @ 7:10 PM