MAYA Karin
Georgie Joseph


AKTRES dan penyanyi Maya Karin menjelaskan dia tidak berniat memperlekehkan sesiapa dalam statusnya di Twitter yang tular mengenai kanak-kanak berusia 10 tahun di Terengganu tidak pandai bertutur dalam bahasa Inggeris.

Maya, 39, menegaskan kenyataan dibuat itu adalah secara umum untuk mengutarakan isu mengenai kesamarataan pendidikan terutama dalam kalangan pelajar muda.

“Saya tak ada niat memperlekehkan sesiapa. Saya bukan fokus orang Terengganu, kebetulan saya berbicara di universiti di Terengganu.

“Fokus saya adalah mutu pendidikan dan daya keyakinan pelajar muda kita. Saya tidak pernah sebut mengenai tahap kebijaksanaan,” katanya di Twitter.

Disebabkan status berkenaan, kenyataannya menjadi perdebatan warganet malah dirinya dikecam seakan mempersendakan kanak-kanak yang tidak pandai berbahasa Inggeris.


STATUS akaun Twitter Maya.

Bagaimanapun, ramai juga yang mempertahankan Maya dengan mengatakan isu diutarakan itu ada benarnya.

Maya turut menyarankan orang ramai tidak kira kanak-kanak mahupun dewasa buang rasa malu untuk cuba bertutur bahasa Inggeris.

“Kena ajar untuk tidak malu. Memang awal-awal mungkin berterabur bertutur bahasa lain tetapi lama-kelamaan boleh cakap dengan baik. Macam bahasa Malaysia saya,” katanya.

Terdahulu, Maya memuat naik status di Twitter mengenai kanak-kanak itu tidak menjawab soalan mengenai umur apabila diutarakan dalam bahasa Inggeris. Bagaimanapun, kanak-kanak itu menjawab apabila ditanya dalam bahasa Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Oktober 2019 @ 4:13 PM