Zatul Iffah Zolkiply


SEORANG pemandu lori mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu, hari ini, atas pertuduhan merogol, seks luar tabii dan menghasilkan video pornografi anak kandungnya yang juga pemegang kad orang kurang upaya (OKU) kategori masalah pembelajaran.

Tertuduh berusia 41 tahun berdepan empat pertuduhan masing-masing dua pertuduhan mengikut Seksyen 376B Kanun Keseksaan kerana sumbang mahram, Seksyen 377B kerana melakukan persetubuhan bertentangan dengan aturan tabii dan Seksyen 5 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017 kerana menghasilkan video pornografi.

Bagi pertuduhan mengikut Seksyen 376B Kanun Keseksaan, tertuduh didakwa merogol mangsa di sebuah rumah di Marang, jam 11 pagi pada 20 September lalu.

Tertuduh turut didakwa mengulangi perbuatan sama terhadap mangsa di beranda rumah di Marang, jam 5 pagi pada 21 September lalu.

Bagi kesalahan itu, tertuduh berdepan hukuman penjara tidak kurang 10 tahun dan tidak lebih 30 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Selain itu, tertuduh turut didakwa melakukan persetubuhan bertentangan aturan tabii terhadap mangsa di sebuah rumah di Marang, jam 11 pagi pada 20 September lalu.

Bagi kesalahan itu, bapa kepada dua anak itu berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Tertuduh turut didakwa menghasilkan video pornografi menggunakan telefon bimbit milik mangsa di sebuah rumah di Marang, jam 11 pagi pada 20 September lalu.

Bagi kesalahan itu, tertuduh berdepan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan sebatan tidak kurang daripada enam sebatan, jika sabit kesalahan.

Sejurus pengakuan bersalah tertuduh direkodkan, Hakim Jamaludin Mat menetapkan 8 Oktober depan sebagai tarikh sebutan semula kes untuk fakta dan hukuman.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Amer Abu Bakar Abdullah manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Akhbar sebelum ini melaporkan seorang bapa bukan hanya tergamak merogol anak kandungnya yang juga pemegang OKU kategori masalah pembelajaran tetapi dipercayai turut merakam perbuatan terkutuknya itu.

Perbuatan lelaki itu terbongkar selepas isterinya yang juga ibu mangsa berusia 33 tahun melihat rakaman video itu pada telefon bimbit suaminya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Oktober 2019 @ 5:07 PM
TERTUDUH mengaku merogol, meliwat dan menghasilkan video pornografi anak kandungnya yang juga OKU di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu. FOTO IMRAN MAKHZAN