Skip this ad x
THINAGARAN (gambar kanan) bernasib baik terselamat dalam kemalangan meskipun van dipandunya (gambar kiri) ‘penyek’ dihimpit treler. FOTO Ihsan Pembaca dan Bomba
Nur Lela Zulkipli


SEORANG lelaki cedera kaki kanan apabila van yang dipandu dihimpit treler membawa muatan asid nitrik di Jalan Pintasan, Pelabuhan Utara, Klang, 3.45 petang tadi.

Meskipun van berkenaan ‘penyek’ akibat dihimpit treler berkenaan, bagaimanapun pemandunya, K Thinagaran, 25, bernasib baik hanya cedera di kaki akibat kemalangan itu.

Gambar dan rakaman video kemalangan berkenaan yang tersebar di media sosial turut mendapat perhatian warganet sehingga tular di laman Facebook serta aplikasi WhatsApp.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira 4 petang mengenai insiden itu dari Pelabuhan Utara menghala ke Pelabuhan Barat.

Beliau berkata, berdasarkan siasatan awal, pemandu treler, Azman Hamzah, 39, yang berada di lorong kiri secara tiba-tiba hilang kawalan sebelum menghimpit pemandu van, K Thinagaran, 25, di lorong paling kanan.

“Perlanggaran itu menyebabkan van dipandu Thinagaran itu terhimpit di sisi kiri treler berkenaan dan kaki kanannya tersepit,” katanya dalam kenyataan, hari ini.


van dipandu Thinagaran ‘penyek’ dihimpit treler. FOTO Ihsan Pembaca

Shamsul Amar berkata, anggota bomba yang tiba di lokasi kejadian berjaya mengeluarkan Thinagaran yang tersepit.

“Thinagaran kemudiannya dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) bagi rawatan lanjut.

“Sementara pemandu treler berkenaan yang tidak mengalami kecederaan ke balai polis membuat laporan,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Anggota Respond Team turut berada di lokasi bagi mengawal lalu lintas yang terjejas akibat kemalangan berkenaan, selain hujan yang mengakibatkan kesesakan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Oktober 2019 @ 7:53 PM