Kaki Faliq Iman yang cedera selepas digigit biawak hari ini. FOTO Ihsan Pembaca
Raja Norain Hidayah Raja Abdul Aziz


KANAK-kanak lelaki berusia tiga tahun melalui detik menakutkan apabila diserang biawak di sebuah chalet di Kampung Salang, Pulau Tioman hari ini.

Kejadian 12 tengah hari itu menyebabkan kaki kanan Faliq Iman Mohd Fadhirul Izwan luka selepas reptilia sepanjang 1.5 meter itu menggigit kakinya.

Bapanya, Mohd Fadhirul Izwan Mat Saridan, 34, berkata, chalet itu milik bapa saudaranya dan dia bertugas sebagai pengurus di situ.

Katanya, sebelum kejadian dia melihat anak tunggalnya itu berada di bawah kaunter pendaftaran chalet sambil bermain telefon bimbit sebelum dia masuk ke pejabat.

“Tidak lama kemudian saya terdengar Faliq menangis dan bergegas keluar sebelum ternampak seekor biawak sedang menggigit kaki kanan anak saya.

“Saya cuba menghalaunya namun reptilia itu tetap menggigit kaki Faliq, saya kemudiannya memijak haiwan itu dua kali barulah reptilia itu melepaskan gigitan dan melarikan diri,” katanya.

Katanya, dia terus membalut kaki Faliq dan terus membawanya ke Klinik Kesihatan Tekek dan doktor memaklumkan kesan kecederaan agak serius dan memintanya membawa Faliq ke hospital.

Menurutnya, selepas kejadian itu anaknya kelihatan trauma dan berulang kali menyebut ‘Faliq takut biawak’ setiap kali bertanyakan mengenai kejadian itu.

Mohd Fadhirul Izwan berkata, sebelum ini sudah beberapa kali reptilia itu ‘menceroboh’ chalet namun dia dan beberapa pekerja lain hanya menghalaunya.

“Mungkin biawak itu masuk ke chalet untuk mencari makanan kerana di sekitar kawasan chalet ini banyak kucing terbiar.

“Bagaimanapun saya tidak menyangka kali ini biawak itu berani menyerang manusia dan anak saya pula menjadi mangsa,” katanya.

Difahamkan Faliq Iman kini sedang menerima rawatan di sebuah hospital swasta di Kuantan.

Kejadian itu kali kedua berlaku di pulau peranginan berkenaan selepas bayi perempuan berusia lapan bulan parah apabila dibaham reptilia itu pada 23 September 2014.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Oktober 2019 @ 9:06 PM