MUHAMAD Khairi (empat dari kanan) bersama rakan yang mengikuti program SL1M.
Mohd Hilmie Hussin & Azim

KUALA LUMPUR: “Saya menuntut dalam bidang yang menjurus ke arah robotik berkaitan dengan industri pengeluaran mahupun penyelidikan dan pembangunan (R&D).

“Bagaimanapun pekerjaan yang saya lakukan ketika ini tersasar keluar bidang,” kata Muhamad Khairi Mezah, 26, pemegang Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Mekatronik, Universiti Malaysia Pahang.

Dia yang menamatkan pengajian pada 2016 sudah berkhidmat dengan beberapa majikan namun semuanya tidak berkaitan dengan kelulusan yang diperoleh.

“Difahamkan, lulusan bidang kejuruteraan mekatronik ini mempunyai masa depan yang cerah dengan pendapatan sekitar RM5,000 hingga RM6,000, pendapatan itu bagi mereka yang baru menamatkan pengajian.

“Namun ketika ini bagi golongan lulusan baharu seperti saya, ia umpama mimpi indah kerana realitinya tidak secantik warna pelangi,” katanya.

Menurutnya, selepas tiga tahun menuntut pengajian dalam bidang terbabit dengan yuran pengajian kira-kira RM20,000, peluang untuknya mendapatkan pekerjaan dalam bidang ijazah yang dimilikinya amat sukar diperoleh.

Justeru, ketika permohonan yang dihantar ke pelbagai syarikat kebanyakannya tiada jawapan, dia enggan menganggur dan mengikuti program Skim Latihan 1Malaysia (SL1M) di Khazanah Nasional berkaitan pengurusan sebelum bekerja di Yayasan Terengganu.

“Syukur, dapat gaji RM2,000 sebulan dan saya menjalankan kerja sebagai pegawai perhubungan mahasiswa di yayasan terbabit.

“Pernah juga dipanggil temu duga selepas permohonan pekerjaan diproses namun semuanya gagal berikutan syarikat yang menawarkan pekerjaan mahukan individu berpengalaman sekurang-kurangnya setahun dalam bidang berkaitan,” katanya.

Menurutnya, daripada menganggur, dia memilih bekerja dalam apa jua bidang yang diperoleh.

MUHAMAD Khairi bekerja sebagai pengacara majlis.

‘Tiada rasa rindu nak makan gaji’

SHAH ALAM: “Saya tidak akan kembali kepada kerja asal sebagai pengurus projek, saya lebih rela jual kek sahaja, tidak ada rasa rindu pun nak makan gaji,” kata pembuat kek Anis Hartini Haron.

Beliau yang berusia 38 tahun berkata, tidak pernah menyesal dengan keputusan meninggalkan kariernya sebagai pengurus kerana lebih selesa dengan apa yang dilakukannya sekarang sejak tiga tahun lalu.

Walaupun pernah bersusah payah menghabiskan pengajian Diploma Kejuruteraan Awam di Politeknik Shah Alam sebelum melanjutkan pengajian Ijazah Pengurusan Pembinaan di Universiti Teknologi Mara Shah Alam tetapi beliau nekad berhenti kerja tiga tahun lalu.

“Masa itu saya bekerja manakala suami, Hanafi Mohd Nasir juga bekerja dan saya hanya membuat kek di hujung minggu bagi memenuhi tempahan rakan selain beberapa pelanggan.

“Akhirnya saya dapati pendapatan jualan kek hujung minggu sama dengan gaji saya sebulan bekerja.

“Dari situ saya buat keputusan berhenti kerja, karier yang saya bina sesuai dengan kelulusan tetapi saya tak menyesal,” katanya.

Anis Hartini berkata, bukan sekadar membuat kek, malah tugas memasarkan dan menjual juga dilakukannya sendiri menggunakan media sosial.

Bukan sekadar itu, beliau juga sering dijemput untuk mengajar di kelas pastri selain menjadi tetamu di beberapa slot televisyen.

Dalam pada itu, beliau berkata, siswazah hari ini mesti mempunyai pelbagai kemahiran kerana pasaran pekerjaan tidak menentu.

Katanya, ada kalanya siswazah memilih kursus tepat semasa mula-mula memasuki universiti namun apabila tamat pengajian, kemungkinan bidang berkenaan sudah tidak relevan atau tiada tawaran pekerjaan.

“Buatlah apa saja dan fokus pada kemahiran yang ada walaupun sekadar membuat kek, jangan buat pinjaman, mulakan di rumah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Oktober 2019 @ 6:00 AM