AKUI bagai bermimpi bawa watak Dr Siti Hasmah dalam filem biopik, Hasmah.
Oleh Sudirman Mohd Tahir


FILEM biopik Hasmah yang mengangkat kisah dan perjalanan hidup Tun Dr Siti Hasmah bakal menjadi catatan sejarah peribadi buat pelakon Nad Zainal.

Malah, sehingga majlis pelancaran filem itu diadakan, Nad mengakui dia masih seperti bermimpi ditawarkan watak itu.

Namun, Nad atau nama sebenarnya Farah Nadia Zainal Abidin, 29, menganggap ia cabaran dan akan cuba membawakan watak Dr Siti Hasmah dengan caranya tersendiri.

Bagi menghayati karakter dan keperibadian sebenar Hasmah, Nad mengambil inisiatif dengan mengikuti kelas biola.

“Saya sudah mengikuti kelas ini hampir dua bulan dan ia inisiatif sendiri. Saya ada bertanya produksi adakah disediakan kelas ini tetapi mereka cakap nanti dulu sebab nak kena siapkan skrip dulu.

“Saya tak mahu lambat, itu yang pergi sendiri. Lagipun, kelas ini bukan setiap hari. Hanya seminggu sekali dan selama sejam.

“Saya memang suka muzik. Dulu saya pernah belajar bass tetapi dah tinggal lama. Jadi, untuk biola tak nak tinggal. Ada tiga buku, sekarang baru buku pertama,” katanya.

Menurut Nad, dalam filem itu nanti dia mahu bermain lagu kegemaran Tun Dr Siti Hasmah dan Tun Mahathir iaitu Getaran Jiwa serta Fly Me To The Moon.

Pada masa sama, Nad juga mahu mengurangkan lagi berat badannya supaya tidak kelihatan besar di skrin.

“Kami berkongsi ketinggian sama iaitu 155 sentimeter. Jadi, dari segi perubahan fizikal, saya nak cuba turunkan berat badan lagi. Saya sasar sehingga 45 kilogram (kg), sekarang saya sudah 48kg.

“Bukan apa, kalau dalam skrin kita akan besar sikit, jadi saya kena kecil lagi. Memandangkan saya melakonkan watak Tun Dr Siti Hasmah sejak zaman remaja hingga sekarang, jadi ada solekan khas untuk watak tua.

“Untuk watak ini juga, sebenarnya saya menginspirasikan lakonan Marion Cotillard dalam filem La Vie En Rose. Itu antara filem kesukaan saya dan sangat mengagumi Marion macam mana dia potret diri dari zaman muda hingga tua,” katanya.

Menurut Nad, bagi zaman remaja, dia perlu banyak membaca dan menonton sesi temu ramah bersama Tun Dr Siti Hasmah bagi mendapatkan lenggok percakapan.

NAD dan Hasnul Rahmat pada majlis pelancaran filem Hasmah Bila Deh Bertemu Det di Matic KL. FOTO: Rohanis Shukri

“Sebelum ini ada beberapa pelakon pernah melakonkan wataknya dalam teater Tun Mahathir iaitu Lisa Surihani dan Eja. Saya tak pernah tengok teater itu. Saya hanya pernah tengok klip pendek membabitkan Lisa dan Eja di YouTube.

“Jadi, apa saya buat sekarang, baca buku dan nak berjumpa Tun (Dr Siti Hasmah) sendiri. Saya juga menonton video cara Tun bercakap. Kalau baca buku, kita boleh agak orangnya macam mana.

“Saya boleh buat versi sendiri dan tidak mahu ikut sesiapa,” katanya.

Ditanya mengenai calon pengarah iaitu Faozan Rizal yang juga pengarah filem Habibie & Ainun, Nad berkata ia bukan satu masalah.

Malah, Nad bersedia berlakon dengan sesiapa saja kerana menganggap apa yang penting adalah memahami teks dan disampaikan dengan baik.

“Bagi saya, apa apa pun naskhah diberikan, siapa sahaja pengarah diberikan tak boleh tengok dari mana dia datang dan apa bangsa.

“Sebab kerja kita untuk menjalankan naskhah itu. Jadi, bukannya ukur dari mana dia datang, sebaliknya ukuran adalah hasil kerja beliau.

“Paling penting memahami teks dan sampaikan dengan bagus. Mungkin bagi kami Faozan bagus, tetapi masih perlukan pengarah tempatan untuk membantu,” katanya.

Nad berkata, dia mengagumi hasil kerja Faozon menerusi filem itu termasuk dalam filem biopik Kartini yang bertindak selaku Pengarah Fotografi.

“Apabila kita tahu latar belakang pengarah, pengalaman, hasil kerja dan pernah menang anugerah, ia satu kelebihan.

“Faozan bukan sahaja pengarah yang bagus tetapi juga dari segi sinematografi. Contohnya, dalam filem Kartini dia menjadi DOP. saya suka filem itu.

“Jadi, saya berasakan satu keuntungan untuk saya. Ini membantu dari segi potfolio saya. Kalau kita ingin menjadi bagus, kena bekerja dengan orang bagus,” katanya.

Selain Nad, filem Hasmah yang bakal menjalani penggambaran Mac tahun depan itu turut menampilkan Hasnul Rahmat yang melakonkan watak Tun Dr Mahathir Mohamed.

Kos filem terbitan Tune Production Sdn Bhd itu dianggarkan menelan belanja RM6 hingga RM7 juta.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Oktober 2019 @ 5:25 AM