Siti Rohana Idris


TANAH MERAH: Tujuh beradik hilang tempat bergantung apabila ibu yang selama ini menjadi ketua keluarga dijemput Ilahi, pagi Ahad lalu.

Kini tanggungjawab menjaga keluarga besar itu digalas anak sulung, Roselina Abdullah, 16, yang menguruskan enam adiknya berusia empat hingga 13 tahun.

Lebih menyedihkan, Roselina juga terpaksa berhenti sekolah awal tahun ini disebabkan kekangan kewangan dan menjaga arwah ibunya yang juga ibu tunggal menghidap penyakit buah pinggang tahap tiga.

Roselina berkata, ibunya kerap dimasukkan ke wad berikutan kondisi kesihatannya yang semakin kronik menyebabkan semangatnya untuk meneruskan persekolahan semakin pudar mengenangkan dia anak sulung.

“Selepas ibu meninggal dunia Ahad lalu, saya bertanggungjawab sepenuhnya terhadap enam adik.

“Jika dahulu saya bergilir dengan emak menghantar dan menjemput lima adik yang bersekolah namun kini semuanya terletak di bahu saya termasuk menguruskan kerja rumah lain,” katanya di rumahnya di Kampung Manal 3 di sini, semalam.


TUJUH beradik tinggal bersama nenek selepas kematian ibu mereka.

Roselina yang juga mengalami masalah jantung sejak lahir berkata, bapanya juga sudah meninggal dunia sejak dia berusia tiga tahun manakala bapa kepada enam adiknya masih ada, namun jarang mengambil tahu kerana sudah bercerai dengan arwah ibu mereka.

Katanya, sebelum ini dia bekerja di sebuah kedai makan bersama ibunya, tetapi terpaksa berhenti disebabkan premis itu hanya menjalankan perniagaan kecil-kecilan dan tidak mampu menggaji pekerja ramai.

“Sebelum ini, kami juga bergantung kepada elaun bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM350 dan saya menerima RM150 sebulan manakala dua adik yang mengalami masalah pembelajaran pula menerima RM1,800 setiap seorang untuk setahun.

“Saya perlu mencari kerja dalam masa terdekat demi kelangsungan hidup kami tujuh beradik termasuk perbelanjaan sekolah lima adik,” katanya sambil memberitahu mereka kini ditemani neneknya, Noraida Deraman, 62, yang tinggal bersama sebaik ibu mereka meninggal dunia.

Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan kepada mereka boleh berbuat demikian melalui akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) milik Roselina iaitu 2-00-6671-00028895-7.

Terdahulu, mereka menerima kunjungan daripada badan bukan kerajaan (NGO) Kelab Kebajikan Cakna Kelantan (KKCK) yang diketuai Presidennya, Pui Tiong Lam menyampaikan bantuan keperluan harian.

Pui berkata, pihaknya mengusahakan beberapa bantuan kewangan lain untuk tujuh beradik itu bagi kelangsungan mereka meneruskan hidup.

“Buat masa ini kami membantu mereka membelikan peralatan sekolah dan pada masa akan datang kami memantau perkembangan mereka dari masa ke semasa,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Oktober 2019 @ 6:01 AM