ADIRA nekad teruskan perceraian meskipun suaminya, Datuk Red cuba untuk berbaik semula. FOTO Zunnur Al Shafiq


“KALAU Allah kata jodoh kami masih panjang saya terima dengan hati yang ikhlas, tapi kalau Allah kata jodoh kami tak panjang saya akan terima dengan hati terbuka,” kata penyanyi Adira Suhaimi, 28, mengenai keputusannya untuk meneruskan permohonan cerai terhadap suaminya, Datuk Seri Adnan Abu, 40.

Adira ditemui selepas prosiding pelantikan Hakam pegawai mahkamah bagi permohonan cerai di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Barat, hari ini.

Adira berkata, dia sudah lama memfailkan perceraian itu pada April lalu namun hari ini bertekad untuk meneruskan perceraian.

“Saya dah failkan agak lama tapi terpaksa tangguh sebab hamil dan menunggu kelahiran puteri ketiga.

“Hari ini saya nekad teruskan juga meskipun sepanjang proses bersama kami mencuba untuk berbaik semula.

“Saya teruskan sebab mengambil kira apa yang terbaik untuk diri saya dan anak,” katanya.

Menurutnya, dia tidak dapat mengulas lanjut apabila suaminya ingin berusaha untuk menyelamatkan perkahwinan mereka memandangkan sebutan kes terbabit bakal berlangsung pada Disember depan.

“Saya tak tahu nak rasa apa sekarang ini mungkin dia ada perasaan bersalah dalam diri sekarang. Kalau ada Alhamdulillah namun bagi saya sendiri pun tak tahu apa yang akan berlaku andai kami berbaik semula.

“Namun apa penting adalah untuk pegang pendirian saya yang tetap mahu meneruskan perceraian. Jika dia nak usaha lebih-lebih saya tak tahu nak jawab,” katanya.

Sementara itu, Adnan atau lebih dikenali sebagai Datuk Red berkata, dia akan cuba berusaha sebaik mungkin untuk kembali berbaik dengan isterinya itu.

“Demi anak saya akan cuba berubah dan berusaha menambat hati Adira semula. Saya tidak mahu perceraian ini berlaku.

“Lagipun saya berkahwin bukan untuk bercerai. Jadi saya akan cuba menyelamatkan perkahwinan ini dan memujuk Adira.

“Mungkin selama ini saya terlepas pandang sesetengah perkara namun saya akan cuba memujuk sebelum perbicaraan akan datang,” katanya.

Terdahulu, seawal jam 8.30 pagi, media hadir ke mahkamah untuk mengikuti prosiding perceraian, namun kemudian dimaklumkan Adira bahawa permohonan cerai terhadap Adnan akan berjalan jam 3 petang.

Sepatutnya, prosiding permohonan cerai dilakukan Adira pada jam 9 pagi tadi tetapi penyanyi itu meminta untuk mengubah waktu kerana tidak menyangka perkara itu (permohonan cerai) diketahui umum.

Spekulasi mengenai perceraian pasangan itu timbul apabila ruangan gosip sebuah portal hiburan menyiarkan cerita artis wanita diceraikan ketika sedang hamil anak ketiga.

Adnan, seorang ahli perniagaan menikahi Adira di Songkhla, Thailand sebagai isteri kedua pada 3 Disember 2015.

Hasil perkahwinan, Adira dan Adnan dikurniakan tiga cahaya mata, termasuk puteri yang baharu sahaja dilahirkan dua bulan lalu.

Perkahwinan pertama Adnan dikurniakan lima cahaya mata.

Adnan juga pernah bernikah pada usia 20 tahun, tetapi bercerai selepas lima tahun bersama dan hasil perkahwinan itu dia dikurniakan dua cahaya mata.

Berita berkaitan

Datuk Red enggan cerai Adira

Suami tak tahu Adira fail cerai

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Oktober 2019 @ 5:14 PM