LUBANG kumbahan yang mengorbankan Nor Arisya. FOTO Farizul Hafiz Awang
Mohamad Azim Fitri Abd Aziz


PENUTUP lubang kumbahan diangkat dan dibiarkan terbuka oleh kumpulan kanak-kanak yang bermain di kawasan rumah di Kampung Batu 5, Jalan Kuantan-Gambang, Kuantan, menjadi punca kepada tragedi kanak-kanak perempuan terjatuh sebelum lemas.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali berkata, berdasarkan temu bual dengan kanak-kanak yang bermain dengan mangsa, Nur Ariesha Abdul Rahman, 5, mereka keluar rumah dan berjalan sejauh 500 meter untuk bermain di kawasan rumah persendirian berkenaan.

“Mereka mengaku membuka penutup lubang kumbahan sebelum penutupnya jatuh. Mereka kemudian meninggalkan kawasan itu tanpa menyedari mangsa berada di situ.

“Kanak-kanak itu kemudian terus bermain sebelum abang mangsa pulang ke rumah dan mendapati Nur Ariesha tiada di rumah,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 5 petang semalam, Nur Ariesha dikatakan bermain bersama dua abangnya serta beberapa rakan sebelum disedari hilang.

Usaha mencari Nur Ariesha kemudian digerakkan penduduk kampung serta keluarga mangsa sebelum menemui mayatnya dalam keadaan terapung pada 9 malam.

Anggota Bomba dan Penyelamat kemudian dipanggil ke lokasi bagi membawa keluar mayat sebelum jenazah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk bedah siasat.

Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.


IBU mangsa, Helmi Nordin, 39, (kiri) tidak dapat menahan kesedihan, ketika selesai proses bedah siasat di Unit Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan. FOTO Farizul Hafiz Awang

Kejadian malang menimpa Nur Ariesha adalah yang kedua dalam tempoh tiga hari selepas kejadian sama berlaku ke atas Mohammad Anas Hadif Ahmad Hafiz, 3, yang maut selepas terjatuh ke dalam lubang kumbahan di kawasan kuarters Balai Polis Pasir Puteh, di Ipoh, kelmarin.

Sementara itu, tinjauan wartawan di Jabatan Forensik HTAA mendapati mayat dituntut keluarga pada 12 tengah hari selepas bedah siasat dijalankan pada 9.30 pagi.

Usaha wartawan untuk menemubual ibu mangsa dikenali sebagai Helmi Nordin, 39, tidak berhasil selepas wanita itu enggan bercakap dengan petugas media.

Difahamkan, jenazah Nur Ariesha akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pandan, Kuantan, selepas solat Asar, hari ini.

Berita berkaitan

Budak lemas jatuh lubang kumbahan

'Saya dah tegur mereka' - Saksi

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Oktober 2019 @ 4:09 PM