Rizanizam Abdul Hamid


MAYAT individu dipercayai mangsa bunuh ditemukan dikerat sekurang-kurangnya lapan bahagian di Kampung Ladang, Krubong, Melaka, 4 petang hari ini.

Mayat mangsa dalam keadaan tanpa pakaian itu ditemukan berselerakan di kawasan semak.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, pihaknya menerima maklumat orang awam pada 4.30 petang mengenai penemuan mayat itu.

Beliau berkata, sepasukan pegawai forensik yang tiba di tempat kejadian kemudian menemukan beberapa bahagian anggota badan manusia dikerat kepada beberapa bahagian.

“Siasatan awal menemui bahagian tubuh manusia di kawasan semak berhampiran jalan utama dan mangsa disyaki dibunuh di tempat lain.

“Sekurang-kurangnya lapan bahagian badannya dicampakkan ke kawasan semak berkenaan sejak kira-kira lima hari lalu,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

ANGGOTA polis forensik mengutip cebisan mayat manusia di Kawasan Perindustrian, Kampung Ladang, Krubong, hari ini. FOTO Rasul Azli Samad.

Afzanizar berkata, polis masih menyiasat jantina mangsa termasuk identiti yang hanya diketahui selepas proses bedah siasat.

“Kami akan putuskan sama ada tubuh badan ini lebih daripada satu (mangsa) atau tidak selepas selesai proses bedah siasat.

“Mayat akan dibawa ke Unit Forensik Hospital Melaka dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun kerana membunuh,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Mayat Dikerat Lapan
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Oktober 2019 @ 8:52 PM
    ANGGOTA badan manusia yang ditemui dikerat di di Kampung Ladang, Krubong, Melaka, hari ini. FOTO ihsan pembaca.