KEADAAN pintu kaca pecah sebelum mangsa tercucuk kaca di sekolah menengah swasta di Kota Damansara, Petaling Jaya, hari ini. FOTO ihsan polis.
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


PELAJAR tingkatan tiga sekolah menengah swasta di Kota Damansara, Petaling Jaya, maut apabila tercucuk cermin pintu kaca yang pecah di dalam kelas, hari ini.

Dalam kejadian 12.32 tengah hari itu, mangsa, Lee Jin Hong, 15, dipercayai bergurau dengan rakannya sebelum tercucuk kaca berkenaan.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din berkata, kejadian dipercayai berlaku apabila mangsa bersama tiga lagi rakannya berada di dalam kelas berkenaan.

“Mangsa dan rakannya bergurau dengan menutup pintu kaca kelas berkenaan, mangsa menolak pintu kaca hingga pecah menyebabkan kepala mangsa terhantuk.

“Mangsa tercucuk serpihan kaca di bahagian leher sebelum jatuh dan tidak sedarkan diri,” katanya.

Mohd Zani berkata, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mengesahkan mangsa bersama tiga rakannya berada di dalam kelas ketika kejadian.

Beliau berkata, pemeriksaan lanjut mendapati tiada sebarang unsur jenayah dalam kejadian berkenaan.

Katanya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Sungai Buloh bagi tujuan bedah siasat sebelum dituntut ahli keluarga dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Oktober 2019 @ 5:35 PM