FOTO Nurul Syazana Rose Razman
FOTO Nurul Syazana Rose Razman
Georgie Joseph


TUJUH tahun mengabdikan diri dalam industri muzik tempatan, impian penyanyi ini tidak lain tidak bukan untuk menjual bakatnya dan menghasilkan karya terbaik. Bagaimanapun, pencapaian terbaharunya dinobatkan sebagai naib juara Big Stage 2019 terlalu indah untuk dihadam.

Neeta Manishaa atau Neeta, 25, bukan tidak menyimpan impian untuk bersinar dan popular. Namun, baginya rezeki setiap orang berbeza-beza dan disebabkan itu dia rela menunggu dengan sabar.

Hinggalah terpilih menjadi peserta program itu, Neeta melihat jalan untuknya mengangkat nama ke tahap lebih tinggi terbuka luas. Vokalis band IAmNeeta terbabit menganggap peluang itu antara rahmat terindah sepanjang kariernya.

“Saya sebenarnya tidak meletakkan sebarang sasaran tertentu. Terus terang, saya puas dengan pencapaian yang diraih IAmNeeta sejak ditubuhkan pada 2012.

"Mungkin kembara seni kami nampak perlahan tetapi tiada apa yang perlu dikeluhkan kerana setiap karya kami diterima baik. Apabila dapat peluang menyertai Big Stage 2, anggota IAm Neeta yang lain iaitu Patrick Anohada dan Anas paling gembira dengan berita itu.

“Saya bersyukur rezeki untuk mengukuhkan nama akhirnya tiba dan peluang keemasan itu tidak boleh disia-siakan,” katanya kepada RAPXTRA.

Dalam pada namanya kini menjadi sebutan, Neeta berjanji tidak akan sekali-kali lupa dengan niat asalnya menyertai arena seni. Misinya kini adalah membuktikan bakatnya yang terbaik dan sentiasa mahu tampilkan karya bermutu.

Penyanyi kelahiran Kedah ini juga mengakui setiap kejayaan yang ingin dicapai sekarang adalah untuk membanggakan orang tuanya. Dengan kejayaan berterusan sahajalah dia dapat membalas budi mereka.

“Sewaktu ambil keputusan untuk teruskan impian menjadi penyanyi, saya tahu banyak perkara perlu dibuktikan kepada ibu bapa tersayang. Saya tidak mahu mengecewakan mereka dengan tidak melakukan kerja ini bersungguh-sungguh.

FOTO Nurul Syazana Rose Razman
FOTO Nurul Syazana Rose Razman

“Sudahlah berjauhan dengan mereka, tentu sekali banyak yang mereka risaukan. Syukur, mereka dapat menerima setiap pencapaian saya sejak bersama IAmNeeta sehinggalah menyertai Big Stage.

“Bagaimanapun, saya tidak mahu berada di tahap ini saja dan kerana itu buat yang terbaik sepanjang pertandingan berlangsung. Saya mahu buktikan yang saya serius dan mahu banggakan mereka,” katanya.

Mencipta nama sebagai artis solo, Neeta tidak terlepas ditanya bagaimana agaknya nasib IAmNeeta selepas ini. Apatah lagi dia dilihat selesa bergerak sendirian di atas pentas.

Tegas Neeta, dia akan tetap bersama band itu bahkan berjanji akan memastikan mereka berjaya bersama-sama.

“Diakui saya berjaya menyesuaikan diri beraksi solo di atas pentas. Selepas ini pun saya akan terus bergerak solo seperti yang sudah diatur demi mengukuhkan nama.

“Namun, tidak bermakna saya mengabaikan IAmNeeta. Sebaliknya, saya mahu guna peluang yang ada sekarang memandangkan sukar untuk band ini bergerak sama pada masa sekarang berikutan dua lagi anggota kami ada komitmen peribadi masing-masing.

“Anas kini melanjutkan pengajian di Russia dan akan berada di sana selama dua tahun. Patrick juga sibuk dengan kerjayanya sebagai komposer di studio selain kini rancak melakukan persiapan mendirikan rumah tangga,” katanya.

Sedia hadap asam garam dunia hiburan Kian popular, Neeta nampak gayanya sudah bersedia jika terpalit kontroversi. Baginya, itu antara cabaran yang perlu dihadam dengan lapang dada apabila bergelar insan seni.

Lagipun, dia bukan setahun dua dalam industri. Ramai rakan artis sedia maklum kemampuannya dan belajar daripada pengalamannya setakat ini.

“Ikutkan saya bukan kategori Budak-Budak Baru Nak Up (BBNU). Tujuh tahun dalam industri, banyak perkara sudah saya belajar.

“Itulah kelebihan yang saya ada untuk lebih bersedia rapi menempuh asam garam menjadi selebriti. Setakat ini belum pernah lagi terpalit kontroversi besar.

“Apapun, saya tidak mahu fokuskan kepada hal itu sekarang disebabkan misi utama saya adalah untuk muncul sebagai artis berkualiti. Saya sudah berjanji kepada diri sendiri untuk menjadi penyanyi yang dihormati dan sentiasa menampilkan karya bermutu,” katanya.

Mengulas pembabitannya dalam Big Stage 2 baru-baru ini, Neeta tidak menyangka akan mendapat sokongan luar biasa daripada orang ramai. Bahkan, kelab peminatnya, Team Neeta Manis bertambah ramai sepanjang pertandingan itu.

FOTO Nurul Syazana Rose Razman
FOTO Nurul Syazana Rose Razman

“Satu hal yang paling saya bersyukur ialah sokongan luar biasa penonton. Tak sangka dan terharu rupa-rupanya ramai yang mahu melihat saya berjaya.

“Sokongan itu buat saya kian bersemangat untuk bekerja lebih keras setiap minggu bagi membuktikan penyanyi tempatan juga setanding dengan penyanyi asing terutama Han Byul. Saya akui dia memang bagus dan disebabkan itu saya pun tak mahu kalah.

“Apapun, saya sudah buat yang terbaik dan harap orang ramai berpuas hati dengan prestasi saya,” katanya.

Dalam pada itu, Neeta berharap kejayaan yang diraih baru-baru ini membuka laluan kepadanya untuk melebarkan sayap ke Indonesia dan Singapura.

“Sepanjang bergelar penyanyi, saya sentiasa mengimpikan untuk menjayakan siri jelajah di seluruh tanah air. Saya akan berusaha ke arah itu baik secara solo mahupun bersama band.

“Tidak ketinggalan, saya mahu mengintai peluang untuk beraksi di luar negara terutama Indonesia dan Singapura. Kalau dapat sekitar Asia Tenggara lebih baik,” katanya.

Neeta kini rancak mempromosikan single terbaru berjudul Ruang Mimpi ciptaan Becky Zulkepli. Dia juga merancang membuat penggambaran video lagu itu pada sekitar Disember nanti di Bali, Indonesia.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Oktober 2019 @ 5:06 AM