Fairul Asmaini Mohd Pilus dan Suraya Roslan dan Faliq Lajim


“ALHAMDULILLAH rumah saya menyewa ini kukuh dan tidak terjejas, tetapi bunyi angin di luar kuat dan menyeramkan. Bagaimanapun, ada rakan lain rumah mereka bergegar.”

Itu pengalaman rakyat Malaysia, Nur Hafizah Khusni, 29, yang menetap di Jepun ketika Taufan Hagibis melanda negara itu, semalam.

Difahamkan, setakat ini direkodkan 18 kematian dan 13 hilang, manakala berjuta lagi kehilangan tempat tinggal selepas taufan paling besar dan amat kuat membawa hujan lebat dan angin kencang membadai Tokyo, Shizuoka dan bahagian utara Jepun, Chiba itu mengakibatkan gangguan kepada sistem pengangkutan dan gangguan bekalan elektrik.

Sebanyak 1,929 penerbangan antarabangsa dan domestik juga dibatalkan selepas taufan membadai bahagian tengah dan timur Jepun, kelmarin, selain pengangkutan utama terjejas seperti perjalanan kereta api, malah sesi persekolahan di Tokyo juga ditutup.

Suri rumah yang menetap di Sano, Tochigi sejak 2010 itu berkata, kerajaan Jepun dan pihak berkuasa sentiasa mengingatkan penduduk dan diminta bersedia menghadapi sebarang ancaman ketika taufan melanda.

“Pentingnya untuk sentiasa mengikuti maklumat terkini daripada sumber dipercayai. Saya tengok berita dari Rabu hingga Jumaat supaya dapat mempersiapkan diri lebih awal.

“Saya lakukan semua perkara disarankan termasuk membeli stok makanan berikutan Sabtu sudah tidak boleh keluar rumah.

“Alhamdulillah, rumah saya terletak agak jauh dari sungai dan kami selamat daripada banjir,” katanya yang berasal dari Ampang, Selangor.

RAKAMAN video selepas taufan Hagibis melanda Jepun, semalam. Foto Ihsan Ahmad Fikri

Ibu kepada dua anak itu berkata, tiada barangan rumah yang terbang berikutan dia mengikut saranan pihak berkuasa supaya memasukkan semua barang di rumah.

“Kami menerima amaran peringkat tiga pada 1 petang, diikuti amaran keempat tiga jam kemudian sehingga amaran peringkat lima pada 8 malam.

“Tempat saya tidak terputus bekalan elektrik dan air, cuma tadi (semalam) dapat pengumuman dari daerah supaya penduduk berjimat menggunakan air sebab bekalan dijangka berkurangan, manakala ada sesetengah tempat sudah terputus bekalan elektrik.

“Alhamdulillah saya sekeluarga selamat, semalam (kelmarin) dapat amaran berpindah dari peringkat tiga ke lima, tetapi kami membuat buat keputusan untuk tinggal di rumah,” katanya.

Sementara itu, Pengarang Berita Gaya Hidup (Digital dan Rencana) akhbar New Straits Times (NST), Intan Maizura Ahmad Kamal yang kini berada di Tokyo menceritakan ketika Taufan Hagibis membadai Tokyo, bangunan hotel tempat menginap di Shinagawa berbunyi seperti hendak retak dan deruan angin juga begitu menakutkan.

“Dari tingkap bilik, saya sempat melihat angin taufan berpusing-pusing tanpa arah, namun kebanyakan bangunan masih tidak terputus bekalan elektrik,” katanya.

Intan Maizura berkata, hujan renyai-renyai melanda Tokyo sejak dia tiba Khamis lalu dan berterusan sehingga Jumaat.

Katanya, sebelum taufan, pengurusan hotel memaklumkan supaya berada di dalam bilik dan mendapatkan bekalan makanan secukupnya.

“Kedai serbaneka menjadi tumpuan, saya dan rakan terus membeli makanan serta minuman sebagai persediaan sekiranya kehabisan makanan.

“Ini kerana kami dinasihatkan supaya tidak keluar dari hotel dan perlu berlindung di dalam bangunan.

“Alhamdulillah, mujurlah hujan dan ribut tidak berpanjangan dan apabila bangun pagi ini cuaca cerah, seolah-olah tidak berlaku apa-apa semalam,” katanya yang berada di negara matahari terbit itu kerana bercuti selain mahu menyaksikan pertandingan MMA One Championship di sana.

SEBAHAGIAN penuntut Malaysia di Hachioji, Tokyo yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara selepas rumah dinaiki air akibat Taufan Hagibis. FOTO Ihsan Pembaca

Seorang lagi rakyat Malaysia yang tinggal di Samukawa, Jepun, Ahmad Fikri Aziz, 30, berkata, pihak berkuasa menaikkan tahap amaran berikutan Taufan Hagibis dari tahap tiga kepada empat.

“Ketika mendapat notifikasi itu, saya bersama isteri dan anak terus mengosongkan rumah dan berteduh sementara waktu di sebuah pusat komuniti yang terletak tidak jauh dari tempat tinggal kami.

“Angin memang sangat kuat sehingga payung yang kami guna patah dan dibawa angin. Malah, kami terpaksa membawa kereta dengan perlahan ketika menuju di pusat itu.

“Malah, ketika sekitar 7 malam, saya boleh merasakan bangunan di pusat komuniti itu bergegar diselangi dengan bunyi angin yang ‘menakutkan’ akibat daripada taufan itu,” katanya.

Dia yang sudah menetap di negara ‘Matahari Terbit’ itu sejak 10 tahun yang lalu berkata, ini kejadian kali kedua dia diarahkan untuk berpindah selepas gempa bumi pada tahun 2011 ketika melanjutkan pelajaran di sana.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Oktober 2019 @ 9:33 PM