ANWAR pada sidang media selepas Konvensyen Keadilan Pulau Pinang. FOTO Shahnaz Fazlie Shahrizal
Shamsul Munir Safini


PRESIDEN Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA) terlalu ‘keras’ dan undang-undang yang diperuntukkan di dalamnya terlalu kuat.

Beliau berkata, ramai pihak yang menentang akta itu sebelum ini kerana bagi mereka ia dilihat terlalu keras, termasuk dirinya.

“Perkara ini sudah dibangkitkan oleh pimpinan PKR dan ahli parlimen Pakatan Harapan (PH) sebelum ini, dan kadangkala orang ramai keliru kerana menganggap kita mengambil mudah soal keganasan.

“Di mana-mana negara sekalipun, apabila ia membabitkan soal keselamatan sebaiknya ia diserahkan kepada pihak berkuasa, terutama polis tanpa mengira kelompok mana yang terbabit,” katanya selepas berucap pada Konvensyen PKR Pulau Pinang, Bukit Mertajam, hari ini.

Anwar berkata, sebelum isu membabitkan kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE), SOSMA sudah ditentang kerana peruntukan undang-undang yang terlalu kuat.

“Kita faham dalam usaha membanteras keganasan ini, ia memerlukan polis lebih tegas dan keras, saya setuju.

“Cuma masalahnya, ia perlu diteruskan dengan beberapa pindaan kerana kuasa peruntukan udang-undang di dalamnya terlalu keras,” katanya mengulas mengenai penahanan beberapa pemimpin PH kerana pembabitan mereka dalam LTTE.

Mengulas mengenai Belanjawan 2020, Anwar menyifatkan ia adalah belanjawan yang positif.

Katanya, beliau juga akan berjumpa dengan semua Ahli Parlimen dan Senator yang berkenaan esok bagi mendapat gambaran tentang fokus belanjawan kali ini dan melihat ia memberi banyak penekanan, terutama tentang soal kemiskinan.

“Isu kemiskinan digarap lebih baik pada belanjawan kali ini berbanding sebelum ini, isu pertanian perlu jadi menjadi fokus besar.

“Kerana nilai import pertanian negara dilaporkan berjumlah 52 bilion, dan ia tidak dijuruskan dengan lebih khusus kerana mungkin ia membabitkan pelbagai faktor seperti teknologi, peralatan yang menjadi menyebabkan nilai import tinggi,” katanya.

Namun secara keseluruhan, Belanjawan 2020 yang dibentangkan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng adalah positif.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Oktober 2019 @ 11:15 PM