Ferzalfie Fauzi dan Syazwan Msar


SEJAK meminati e-sukan terutama berkaitan perlumbaan kereta bermula 2002, Mior Hafiz Mior Lahmudin tidak menyangka akan beraksi di luar negara dan bersaing dengan pelumba handalan dunia.

Bagaimanapun, pada 1 hingga 3 November depan pemuda kelahiran Kuala Lumpur ini bakal beraksi di edisi sulung Sukan Pemotoran FIA yang boleh diklasifikasikan sebagai mini Olimpik buat penggiat sukan berkenaan.

Kejohanan di Rome, Itali itu bukan saja menghimpunkan pelumba kereta sebenar, tapi turut memberi peluang buat pelumba e-sukan atau lebih tepat lagi e-racing untuk beradu tenaga dalam saingan Piala Digital.

“Saya bukannya tidak pernah terfikir akan beraksi di luar negara, tapi saya tidak menyangka secepat ini saya diberi peluang untuk mewakili negara ke peringkat antarabangsa,” katanya yang berusia 31 tahun.

Dia yang muncul juara Grand Prix e-Racing SEA September lalu mengakui ia bukan tugas mudah untuk bersaing dengan pelumba e-racing handalan dunia lain, namun berjanji akan memberikan aksi terbaik di sana.

“Begitu juga dalam kelayakan bukan mudah untuk merebut slot ini kerana ramai pelumba hebat di peringkat Asia terutama dari Jepun dan Hong Kong. Kebanyakan mereka beraksi dalam perlumbaan jelajah dunia.

“Di Sukan Pemotoran FIA ini saya rasa pelumba e-racing handalan dunia sudah pasti akan turun beraksi terutama Mikail Hizal (Jerman) dan Nicola Latkovski (Australia). Mereka ini memang hebat sentiasa menaiki podium. Begitu juga dengan pelumba Jepun kerana permainan video ini dari negara mereka,” kata Mior Hafiz.

Bagi melengkapkan ilmunya, Mior Hafiz bakal berguru dengan bekas pelumba Formula Satu (F1) negara, Alex Yoong supaya mampu memberi saingan sengit dengan jaguh antarabangsa.


MIOR Hafiz ungguli Grand Prix e-Racing SEA September lalu. FOTO Amirudin Sahib

“Persiapan saya sudah pasti ke arah fizikal dan mental. Selain itu, saya juga harus berlatih bersungguh-sungguh menggunakan simulasi di rumah saya. Pada masa sama Alex Yoong juga ada menjemput saya datang ke pejabatnya berlatih di sana.

“Saya menganggap dia sebagai ‘sifu’ kerana sudi berkongsi tip dan berlatih bersama-sama. Saya rasa dalam tempoh sebulan ini, saya mempunyai masa secukupnya untuk mempersiapkan diri,” katanya yang pernah mengambil bahagian dalam perlumbaan e-racing F1. Setakat ini, Mior Hafiz sudah menyertai 15 hingga 20 pertandingan e-racing sejak dia mula membabitkan diri secara serius dalam e-sukan pada pertengahan 2016.

“Sukan e-racing ini menyamai perlumbaan sebenar. Itulah yang membuatkan saya tertarik untuk membabitkan diri secara serius. Kalau hendak berlumba menggunakan kereta sebenar, ia berkait dengan kos tinggi.

“Tidak semua peminat sukan pemotoran mampu menjadi pelumba sebenar, jadi e-racing adalah platform terbaik kerana lebih jimat,” katanya yang juga seorang penjual air di tepi jalan.

Mior Hafiz juga mengakui walaupun dia hanya pelumba di alam maya, bahagian teknikal aspek perlumbaan dan jentera tidak boleh dipandang sebelah mata.

“Kita memang perlu mengenali jentera dengan lebih dekat. Tidak semua kereta itu sama. Ada yang meluncur hebat di selekoh, tapi perlu secocok dengan kelajuan.

“Saya juga perlu mengetahui ‘breaking point’ yang sesuai mengikut perlumbaan, jentera dan litar,” katanya yang muncul naib juara di Kejohanan Esports Toyota Velocity 2018.

Mior Hafiz yang ditaja Axle Motorsport mengakui beraksi di Rome adalah sesuatu yang mencabar kerana membawa nama negara, namun dia tidak mahu menyerah kalah terlalu awal.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Oktober 2019 @ 6:15 AM
MIOR Hafiz berlatih menggunakan simulator di rumahnya. FOTO Amirudin Sahib