NURAMANINA bersama ibu Farah Idayu serta dua adiknya, Nurfatihah serta Nuraisyah yang menghidap masalah jantung. FOTO Hasriyasyah Sabudin
Mahaizura Abd Malik


USIANYA baru tiga tahun, tetapi Nuramanina seakan mengerti kepayahan ibu dan ayahnya bergolok gadai demi kelangsungan dua adiknya yang menghidap masalah jantung kronik.

Sepatutnya kanak-kanak sepertinya membesar dan ditatang penuh kasih sayang, tetapi anak sekecil ini sanggup ‘berkorban’ di saat ibu bapanya terpaksa mendahulukan keperluan dua adiknya.

Malah, kanak-kanak comel ini tidak pernah merungut apabila ibunya hanya mampu menyediakan nasi berlaukkan telur sejak adiknya dilahirkan kadangkala terpaksa ‘berpuasa’ kerana terputus bekalan makanan.

Tambah memilukan, setiap malam, selepas bapanya Mohamad Azroy Ali, 25, pulang bekerja dia setia menemani ibunya, Farah Idayu Mohd Shah, 29, menyelongkar tong sampah berhampiran rumah untuk mencari barangan terbuang seperti kotak dan tin untuk menambah pendapatan keluarga mereka.

Bagi ibunya, Farah Idayu, dia tiada pilihan kerana dua adik Nuramanina iaitu Nurfatihah dan Nuraisyah masing-masing setahun dan empat bulan memerlukan perbelanjaan besar selain perhatian lebih dan penjagaan rapi.

“Makan kami bercatu sampai orang beri ayam busuk pun kami goreng makan, kadangkala tambang teksi ke hospital pun saya terpaksa tebalkan muka meminjam dengan jiran tetangga.

“Jadi, saya rela selongkar tong sampah cari apa yang boleh dijual kerana saya bimbang jika tak anak-anak susah nak makan apatah lagi anak sulung, saya kasihan dia membesar tak macam orang lain badan semakin kurus sampai orang cakap saya tak pandai jaga anak.

“Kadangkala saya rasa anak sulung terabai, tetapi dia pandai berdikari...pandai ambil makanan sendiri dan rajin bantu saya.

“Mungkin dia faham (kedaifan keluarga) makan apa yang ada kadang-kadang hanya makan nasi bercatu dengan telur pun dia ok. Kalau tak ada (makanan) dia diam saja,” katanya ketika ditemui di rumah sewa mereka di Bandar Seremban Selatan di sini.

Menurut Farah yang berasal dari Mentakab, Pahang, setiap bulan mereka perlu menyediakan hampir RM1,000 bagi membeli susu khas buat dua anaknya itu.

“Anak kedua saya, Nurfatihah menghidap masalah jantung Tetralogy of Fallot (TOF) atau penyakit jantung konginetal sianotik selain Major Aorfa Pulmonary Colateral Arteries (MAPCA).

“Dia tidak boleh makan makanan pejal kerana dia cepat mengah apabila mengunyah yang menyebabkan badannya kebiruan. Jadi doktor mengesyorkan dia diberikan susu khas bagi menggantikan zat.

“Adiknya Nuraisyah pula menghidap jantung berlubang (VSD), Duktus Arteriosus Terbuka (PDA) dan tidak boleh minum susu sebarangan, dia akan muntah dan cirit birit mengakibatkan nafasnya menjadi laju.

“Kadang-kadang hendak membeli susu murah pun saya sampai tak ada duit, jadi saya cuba mohon bantuan dalam media sosial, tapi orang kecam.

“Bukan saya tak usaha, tapi dalam dunia ini saya cuma ada suami untuk jaga anak-anak, saya tiada keluarga, adik beradik mahupun mak cik, pak cik sebab saya anak yatim piatu,” katanya.

Farah berkata, mereka bergantung sepenuhnya kepada suaminya yang tiada pendapatan tetap sebagai pembantu pasar malam.

“Suami saya kerja pembantu pasar malam dengan upah RM50 sehari, kadangkala jika hujan upahnya berkurangan kerana tidak ramai pelanggan.

“Malam pula dia mengambil alih tugas menjaga anak kami, manakala pada hari cuti, dia tak sempat hendak rehat sambung lagi buat kerja apa yang boleh buat duit termasuk menukar minyak hitam kenderaan untuk menambah pendapatan.

“Sebenarnya sudah banyak kali kami turun naik jumpa pihak berwajib untuk dapatkan bantuan termasuk penempatan rumah awam, tetapi semuanya hampa sampai saya terfikir ini saja jalan terakhir dengan mencari barangan terbuang untuk bantu ringankan beban suami,” katanya sewa dan bil utiliti kerap tertunggak dan ditamatkan perkhidmatan.


FARAH Idayu bersama tiga anaknya. FOTO Hasriyasyah Sabudin

Tidak cukup dengan ikhtiar itu, katanya, mereka juga bergolok gadai termasuk menjual kereta dan barangan rumah untuk kelangsungan hidup.

“Saya jaga anak dan usaha sebaik mungkin, bila saya susah saya cuba jual apa yang ada dalam rumah seperti sofa, televisyen...kereta semua untuk anak saya saja.

“Kadang-kadang saya sakit pun tak boleh pergi ke hospital sebab anak saya lebih memerlukan saya, saya cuma mengharapkan suami saja.

“Jika anak saya sakit ke apa ke saya tak mampu tengok, saya risau kadang-kadang malam hendak tidur pun saya takut sangat kerana nafas anak bunyi kuat, saya bimbang kalau buka mata anak saya dah tiada,” katanya.

Katanya, doktor memaklumkan tiada rawatan dapat dijalankan untuk menyembuhkan anak keduanya selain jangka hayatnya hanya mampu bertahan 15 hingga 20 tahun saja.

“Pakar mengesahkan tiada lagi harapan buat Fatihah kerana keadaannya kini 50-50, malah tiada ubat dan rawatan dapat dilakukan di Malaysia.

“Semakin membesar dia akan mengalami banyak komplikasi dan kerap masuk hospital kerana membiru, tidak boleh terkena panas dan pengsan kerana lemah imunisasi.

“Sebagai mak, tiada apa yang saya mahukan, Allah sudah tentukan jalan hidup macam ini, jadi saya terima dan reda.

“Cuma berharap satu keajaiban supaya Allah panjangkan umur anak saya beri masa lama sikit dengan saya pun alhamdulillah saya bersyukur.

“Harapan saya kerajaan sudi ringankan beban kami sekurang-kurangnya menempatkan kami di perumahan awam kerana dengan itu kami dapat jimat bayaran rumah RM500 sebulan,” katanya hanya Fatihah menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) RM200 sebulan.

Orang ramai yang ingin meringankan beban keluarga ini boleh menyalurkan bantuan ke akaun Ambank 8881031641971.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Oktober 2019 @ 6:45 AM