Redzuan Muharam


“KAMI bukan kembar dan tidak berkawan rapat tetapi pernah bertemu sebelum ini kerana belajar di universiti yang sama,” kata Amirul Hazim Azhari, 23.

Amirul Hazim berkata demikian mengenai video dimuat naiknya di akaun Twitter miliknya pada Sabtu lalu hingga mengundang pelbagai reaksi oleh warganet.

Menerusi video berdurasi 14 saat itu, Amirul Hazim dilihat duduk semeja dengan seorang lelaki yang mempunyai wajah seiras dan penampilan sama sepertinya.

Bercerita lanjut, Amirul Hazim berkata, video itu dirakam secara spontan oleh rakannya, Syariqul Huzni, 24, ketika mereka menghadiri majlis makan malam yang dihadiri pelajar Malaysia di Universiti Queensland, Brisbane, Australia pada Sabtu lalu.

“Kami pernah bertemu sebelum ini ketika bermain futsal dan pertemuan kelmarin adalah yang kedua sejak saya menyambung pengajian di Australia.

"Ketika bertemu di majlis makan malam itu, saya berasa seperti melihat cermin pula kerana kami memakai baju yang sama dan duduk di meja makan dengan menghadap satu sama lain.

“Saya anggap pertemuan itu sebagai satu kebetulan dan selain wajah, ramai juga tidak tahu bahawa kami berdua juga mempunyai pangkal nama yang sama," katanya ketika dihubungi Harian Metro hari ini.

Amirul Hazim yang juga penuntut tahun tiga Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik berkata, dia juga tidak menyangka perkongsiannya di Twitter mendapat perhatian warganet hingga tular di media sosial.


Perkongsian Amirul Hazim di akaun Twitter miliknya yang mendapat perhatian warganet. Foto Ihsan Amirul Hazim Azhari

"Saya hanya berkongsi video itu untuk tatapan pengikut kerana pertama kali berhadapan dengan situasi itu dan merasakan ia lucu.

"Tak sangka pula, video berkenaan menjadi tular dan ramai juga yang mengatakan kami kembar yang sudah lama terpisah walaupun hakikatnya tiada pertalian darah antara saya dengannya," katanya yang berasal dari Ampang, Kuala Lumpur.

Sementara itu, Amirul Haziq Hilmi, 24, pula berkata, dia tidak melihat video yang dimuat naik Amirul Hazim itu dan hanya menyedari persamaan mereka apabila dimaklumkan di Twitter.

"Memang pernah jumpa dengannya (Amirul Hazim) sebelum ini ketika bermain futsal tetapi tidak menyedari persamaan itu sehingga ramai memperkatakannya di Twitter.

"Mungkin benar ada persamaannya dan lebih ketara kerana kami berdua memakai cermin mata selain menggayakan pakaian serta gaya potongan rambut yang sama," katanya yang kini menuntut di tahun akhir Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Oktober 2019 @ 9:30 PM
Amirul Hazim (kiri) dan Amirul Haziq hanyalah kenalan universiti dan tiada pertalian darah. Foto Ihsan Amirul Hazim Azhari Dan Amirul Haziq Hilmi