UYAINA selesa dengan keterbukaan dan penerimaan peminat di Indonesia.


KEHADIRAN pengacara, Uyaina Arshad mengintai peluang di Indonesia benar-benar membuahkan hasil positif.

Masakan tidak, wanita jelita ini perlahan-lahan menembusi pasaran negara seberang itu sekali gus mendaki tangga populariti sebaris pengacara sedia ada.

Mengakui bersyukur dengan setiap nikmat dikurniakan, Uyaina memberitahu, dia kini berusaha keras untuk menambat hati penonton Indonesia khususnya peminat di negara itu yang sentiasa mendoakan kejayaannya.

Kata Uyaina, dia kini semakin menguasai bahasa Indonesia dengan baik berbanding pada awal kemunculannya tahun lalu.

“Saya sendiri perasan banyak perubahan ketara berlaku berbanding awal kemunculan dulu. Sampaikan kakak ipar sendiri memberitahu dialek saya seakan-akan sama dengan warga Indonesia.

“Bagi saya apabila mencari makan di tempat orang, saya perlu cekap dan menguasai bahasa mereka dengan cepat. Saya tanya rakan hos jika ada perkataan yang tak tahu.

“Selalunya kalau ada maksud yang tak tahu, saya akan mematikan mikrofon dan terus bertanya rakan hos di sebelah mengenai maksud ayat itu. Saya sering melakukan perkara itu kerana tidak mahu rasa ketinggalan.


SEMAKIN menguasai bahasa Indonesia dengan baik.

“Sejujurnya saya sangat beruntung dan bertuah kerana mempunyai rakan hos yang saling membantu dan tidak kedekut ilmu. Mereka sangat terbuka dan menyokong,” katanya yang kini mengacarakan program Golden Memories Asia di Indonesia.

Mengakui selesa dengan keterbukaan dan penerimaan di Indonesia, Uyaina menganggap negara itu sudah seperti rumah keduanya.

“Ketika menunaikan umrah bersama ibu baru-baru ini, saya selalu berdoa supaya urusan kerja di negara orang dipermudahkan kerana perlu berjauhan dengan keluarga dan tinggal seorang diri.

“Jadi saya perlu ada rasa selesa itu supaya rasa bahagia dan selesa di tempat orang. Alhamdulillah, Indonesia sudah saya anggap seperti rumah kedua kerana mereka sangat menjaga dan menerima kehadiran diri ini,” katanya.

Meskipun terpaksa berulang-alik setiap minggu antara Malaysia dan Indonesia kerana komitmen kerja, Uyaina akui penat tapi seronok dengan kehidupan yang dilaluinya itu.

“Setiap minggu saya kena balik Malaysia kerana terikat dengan program Wanita Hari Ini (WHI). Jadi setiap hujung minggu, saya akan balik Malaysia dan mengacara program WHI pada Isnin dan selesai program itu saya akan ke Indonesia semula.

“Walaupun penat, saya suka dengan kehidupan ini. Saya nak tunjukkan komited terhadap setiap kerja dilakukan dan cintakan kerjaya ini,” katanya.

TERHARU FIKRY INGIN BERGANDINGAN

Jika sebelum ini pelakon kacak, Fikry Ibrahim teringin bergandingan kerana percaya dengan bakat lakonannya, Uyaina ketika ditanya mengenainya mengakui terkejut dengan kenyataan itu.

Uyaina berkata, dia tidak menyangka Fikry teringin bergandingan dengannya dalam sebuah drama jika ada tawaran.

“Saya terkejut ketika membaca kenyataan Fikry kepada media. Rasa terharu pun ada.

“Kalau diberi memang saya okey sebab itu peluang keemasan. Lagipun, tak sangka ada pelakon memerhati lakonan saya yang masih hijau ini.

“Saya juga tak pernah bawa watak utama. Kalaulah ada produksi yang ingin tawarkan gandingan ini, saya memang nak cuba nasib. Mana tahu gandingan kami mampu mencetuskan impak tersendiri,” katanya.

Sementara itu, ditanya mengenai kehidupan peribadi, Uyaina mengakui masih solo dan belum terfikir untuk bercinta.

“Fokus saya sekarang untuk membina nama di Malaysia dan Indonesia. Saya nak fokus dengan kerjaya sebagai pengacara dan pelakon dulu.

“Lagipun, saya tak nak terburu-buru dalam hal percintaan. Biarlah saya menikmati kehidupan solo ini. Kalau ada jodoh, adalah nanti,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Oktober 2019 @ 5:40 AM