SEJUMLAH 28 kematian di Amerika Syarikat dikaitkan dengan vape.
Oleh Idris Musa


Kajian penggunaan rokok elektronik ataupun vape di Malaysia sangat membimbangkan dengan 9.1 peratus atau membabitkan 300,000 pelajar sekolah, Dewan Rakyat diberitahu, semalam.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, daripada jumlah itu, 250,000 pelajar lelaki manakala 50,000 pelajar perempuan.

Beliau yang melahirkan kekhuatiran mengenai fenomena itu berkata, hingga kini, kematian dikaitkan dengan vape adalah 28 kes di Amerika Syarikat dan satu di United Kingdom.

“Selain nikotin itu (kandungannya) adalah segala apa yang disebutkan antara lainnya ialah aerosol. Semua ini kita dikaji secara keseluruhan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahmad Marzuk Shaary (PAS-Pengkalan Chepa) yang ingin tahu berkenaan usaha membendung penjualan vape terutama terhadap pelajar serta kandungan di dalamnya.

Dr Dzulkefly berkata, rokok elektronik atau vape yang menggunakan cecair bernikotin dikawal mengikut Akta Racun 1952.

Menurutnya, berdasarkan akta itu persediaan yang mengandungi nikotin termasuk cecair rokok elektronik dilarang penjualannya melainkan ahli farmasi berlesen dan pengamal perubatan berdaftar.

“Mana-mana orang selain daripada mereka yang disebut di atas yang menjual persediaan mengandungi nikotin termasuk cecair rokok elektronik bernikotin melakukan kesalahan dan boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau penjara tidak melebihi setahun atau kedua-duanya.

“Mana-mana orang yang mengedar atau membekalkan persediaan yang mengandungi nikotin tanpa kelulusan melakukan kesalahan dan boleh didengan tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya,” katanya.

Beliau berkata, vape menggunakan cecair tanpa nikotin akan dikawal mengikut akta baru digubal Kementerian Kesihatan Malay-
sia bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) yang kini dalam semakan Jabatan Peguam Negara.

“Di bawah akta baru penggunaan semua produk merokok seperti rokok konvensional dan vape bagi mereka berumur di bawah 18 tahun dilarang sama sekali,” katanya.

Katanya, satu jawatankuasa kerja pakar ditubuhkan dengan dipengerusikan Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye yang mengkaji semula bentuk kawalan akan diambil.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Oktober 2019 @ 6:30 AM