Rosyahaida Abdullah


“I’M a survivor (berjuang melawan kanser),” kata isteri Perdana Menteri Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Kempen Kesedaran Kanser Payudara Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, KL Pink October 2019 di Hospital Kuala Lumpur (HKL), hari ini.

Menurutnya, doktor mengesahkan beliau menghidap kanser payudara pada Mac lalu ketika usianya 92 tahun.

“(Ketika itu) apabila saya rasa tidak sedap, saya terus jumpa doktor. Dalam seminggu, saya disahkan mempunyai ketumbuhan kecil.

“Alhamdulillah ia (ketumbuhan) kecil, yang penting adalah jangan takut untuk melakukan pemeriksaan (kesihatan),” katanya.

Bercerita lanjut, Siti Hasmah berkata, ketika keputusan biopsi diperolehnya yang mengesahkan ketumbuhan di payudara kiri adalah kanser, beliau hanya tenang dan tidak memaklumkan kepada suami, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Katanya, beliau enggan mengganggu suaminya yang sibuk dengan tugas sebagai Perdana Menteri.

“Doktor lakukan biopsi pada Sabtu, keputusan diperoleh pada Isnin tetapi sepanjang tempoh itu saya tidak langsung memberitahu suami kerana tidak mahu mengganggunya, dia sibuk kerja.

“Apabila dia (Dr Mahathir) tahu pada hari keputusan biopsi keluar, dia tak bebel, cuma dia risau sampaikan suruh saya dibedah pada esoknya.

“Saya masuk wad, empat hari selepas itu iaitu pada Jumaat, (dan) Sabtu saya dibedah untuk keluarkan ketumbuhan kecil berkenaan. Pada Ahad, saya keluar wad,” katanya.

Siti Hasmah berkata, meskipun ketumbuhan itu kecil, baginya yang lebih penting adalah wanita tidak perlu malu atau takut untuk melakukan pemeriksaan kesihatan.

Beliau juga menggalakkan wanita untuk sentiasa peka dengan perubahan diri dengan kempen anjuran HKL itu untuk beri kesedaran mengenai pentingnya saringan awal bagi mengenal pasti potensi kanser payudara.

Turut hadir pada program itu, Pengarah HKL, Datuk Dr Heric Corray dan Ketua Jabatan Radioterapi dan Onkologi HKL merangkap Pengerusi Jawatankuasa Penganjur, Dr Ros Suzanna Ahmad Bustamam.

Dalam pada itu, Dr Heric berkata, dianggarkan seorang daripada 19 wanita di Malaysia berisiko hidap kanser payudara sekali gus menjadikan hampir 700,000 wanita mempunyai potensi itu.

“Angka ini tidak seimbang jika dibandingkan dengan bilangan pakar sedia ada. Di Malaysia, kita mempunyai hanya 123 pakar perubatan onkologi namun, hanya 49 masih berkhidmat di hospital kerajaan.

“Di HKL sendiri, kami mempunyai sembilan pakar itu untuk menangani 3,407 kes baharu serta 21,132 kes susulan kanser pada 2018,” katanya.

Beliau berkata, jumlah itu meningkat dari semasa ke semasa dan kerana itu penting untuk masyarakat sedar bahaya kanser sekali gus melakukan pencegahan lebih awal.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Oktober 2019 @ 5:18 PM
TUN Dr Siti Hasmah Mohd Ali. FOTO Arkib NSTP.