Karya asal Allahyarham Abdul Razi dalam tulisan jawi lama. Foto Ihsan Zulaikha Mohd Zubir
Amirul Haswendy Ashari.


“RAMAI minta buku ini diterbitkan. Saya kena berbincang dengan bapa kerana ini amanah,” kata Zulaikha Mohd Zubir, 29, mengenai buku tulisan arwah datuknya, Allahyarham Abdul Razi Wahid.

Kisah buku pusaka itu menjadi tular apabila Zulaikha berkongsi kisah mengenai sejarah buku itu di Twitter yang mendapat lebih 17,200 ulang kicau sejak Sabtu lalu.

Zulaikha ketika dihubungi Harian Metro berkata, buku itu adalah kisah perjalanan hidup arwah datuk dari zaman kanak-kanak sehinggalah dua bulan sebelum beliau meninggal dunia ketika berusia 63 tahun pada 1973.

“Buku itu ditulis dalam tulisan jawi dan bapa saya baru saja selesai buat terjemahan ke tulisan rumi.

“Ia mengambil masa agak lama kerana arwah datuk menulis dalam ejaan jawi lama dan agar sukar untuk faham,” katanya.

Menurut Zulaikha, ayahnya, Mohd Zubir Abdul Razi, 67, yang berasal dari Kuala Pilah mengambil masa lama untuk membuat suntingan dan terjemahan kerana sibuk dengan urusan kebun dan lain-lain.

“Menurut ayah, tulisan datuk jika tidak disunting mengikut kesesuaian bahasa sekarang mungkin ada yang salah faham.

“Banyak yang tidak lagi digunakan pada masa kini, jadi ayah perlu gantikan dengan perkataan sesuai.

“Ayah turut membuat nota kaki untuk penerangan supaya mudah untuk anak cucu membacanya nanti,” kata eksekutif pemasaran di sebuah firma gas tempatan itu.


Isi kandungan perjalanan hidup Allahyarham Abdul Razi yang ditulisnya untuk tatapan anak cucunya. Foto Ihsan Zulaikha Mohd Zubir

Zulaikha akui ada banyak detik menarik walaupun belum habis membaca buku pusaka itu.

Apatah lagi, bapanya masih tinggal 15 peratus baki terjemahan dan suntingan yang perlu dibuat.

“Semua isi kandungan buku saya suka tetapi paling digemari adalah bahasa dan susun kata arwah yang berbunyi Melayu klasik, sangat halus, indah dan ikhlas apabila dibaca.

“Terasa seperti dibuai kembali ke sekitar 1920-an,” katanya.

Hasil pembacaan karya datuknya itu, dia mendapati arwah sanggup mengembara untuk menyiasat susur galur keturunan keluarga.

Hasil usaha itu, arwah berjaya mengumpul maklumat sehingga ke enam keturunan seawal 1795.

“Antara kandungan buku ini adalah daripada kisah arwah dilahirkan, sampai ke kisah terakhir apabila arwah disahkan mengidap penyakit.

“Selain itu, arwah menulis mengenai adat istiadat orang dulu-dulu berguru. Arwah turut berkongsi cerita mengenai kisah hidupnya yang hidup susah ketika zaman persekolahan tetapi masih mengekalkan kebersihan,” kata Zulaikha.

Dalam buku sama, arwah berkongsi kisah konflik dipaksa kahwin oleh tok gurunya sebelum putus tunang kerana jatuh cinta dengan Peah Osman yang juga nenek Zulaikha.

“Nenek (Peah) tidak pernah berkahwin lain selepas kematian datuk. Beliau meninggal dunia pada usia 100 tahun pada 2012 lalu.

“Banyak kisah menarik yang dikongsi arwah termasuk pada zaman penjajahan Jepun dari mula mereka masuk hinggalah menyerah kalah,” katanya.

Zulaikha akui, arwah datuk meninggalkan pesan agar buku itu diperturunkan dari generasi ke generasi seterusnya terutama kepada anak sulung dalam keluarga.

"Jujurnya, kami tak pernah terfikir penulisan ini boleh mendapat sambutan. Bila saya beritahu ayah mengenai reaksi orang ramai di Twitter, ayah amat terkejut.

"Dia sebenarnya kurang selesa untuk kongsi kisah hidup arwah datuk kerana banyak juga hal peribadi yang diceritakan dalam itu.

"Memang buku itu ditulis khas untuk pengajaran buat anak cucu arwah datuk tapi mungkin saya perlu bincangkan lagi hal ini kepada ayah dan meyakinkannya yang pengajaran tersebut harus juga dikongsi dengan orang lain," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Oktober 2019 @ 10:00 PM