Redzuan Muharam


“ABAH...terima kasih bah, terima kasih bagi kucing baru,” itu luahan Nur Aysar Amni selepas menerima hadiah kucing daripada ibu bapanya, Noryana Samsudin, 34, dan Mohd Saidi Alang, 34, Ahad lalu.

Nur Aysar Amni meluahkan ucapan terima kasih itu sambil menangis teresak-esak dan rakaman video aksi kanak-kanak cilik itu sempat dirakam ibunya sebelum tular selepas dimuat naik di laman sosial.

Menerusi rakaman video berdurasi satu minit 35 saat itu, Nur Aysar Amni menangis di dalam kereta sambil memeluk seekor kucing yang baru dihadiahkan kepadanya.

Video berkenaan meraih 382,000 tontonan sehingga kini dan rata-rata turut sebak melihat reaksi spontan Nur Aysar Amni dan memuji sikap penyayang anak sulung daripada tiga beradik itu.


Nur Aysar Amni memegang Belle manakala adiknya Taeyang. FOTO Ihsan Noryana Samsudin

Menceritakan kisah di sebalik video berkenaan, Noryana yang menetap di USJ, Subang Jaya, Selangor berkata, rakaman itu dibuat secara spontan ketika dia memberikan kejutan dengan menyerahkan kucing yang dibelinya kepada Nur Aysar Amni.

“Sudah lama kami merancang menghadiahkan Amni (gelaran untuk Nur Aysar Amni) kucing kerana dia terlalu sukakan haiwan itu dan pernah meminta kami membelikannya.

“Malah setiap kali lalu di hadapan kedai haiwan, dia pasti berhenti dan mengajak kami masuk melihat kucing di dalamnya.

“Melihat minatnya itu, saya dan suami sepakat membeli sepasang kucing iaitu seekor jantan dan betina daripada rakan kami untuk dihadiahkan kepada Amni.

“Tak sangka pula, Amni memberi reaksi seperti itu dan ia mungkin kerana dia sudah lama mahukannya lebih-lebih lagi selepas kucing peliharaannya bernama Bobit hilang dan gagal dikesan beberapa bulan lalu ,” katanya ketika dihubungi.


Nur Aysar Amni bersama ibu, bapa dan adiknya. FOTO Ihsan Noryana Samsudin

Noryana berharap, Amni menghargai pemberian itu dan mengambilnya sebagai satu tanggungjawab untuk memelihara haiwan berkenaan dengan baik.

“Selain memenuhi permintaannya, saya dan suami menghadiahkan Amni kucing kerana mahu mendidiknya menjadi seorang yang bertanggungjawab.

“Saya juga mengingatkannya supaya menjaga dengan baik termasuk menguruskan makan, minum dan kebersihan kucing itu yang baru berusia dua bulan.

“Setakat ini, saya nampak kesungguhannya dan yakin dia boleh menjaga dengan baik kerana Amni seorang yang tahu menghargai pemberian orang.

“Kucing itu juga sudah diberi gelaran iaitu Taeyang sempena nama bintang K-pop kesayangannya dan Belle, salah satu karakter dalam permainan video kegemarannya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Oktober 2019 @ 11:19 PM
Nur Aysar Amni menangis kegembiraan selepas menerima hadiah kucing pemberian ibu bapanya. FOTO Ihsan Noryana Samsudin