Skuad Khas Harian Metro


SEGELINTIR pengusaha kedai dobi layan diri dikesan mengabaikan aspek keselamatan dari segi penyaluran paip gas petroleum cecair (LPG) ke mesin pengering hingga boleh menyebabkan letupan besar jika berlaku kemalangan.

Sumber Jabatan Bomba dan Penyelamat memberitahu Skuad Khas Harian Metro bahawa hanya 688 kedai dobi layan diri mempunyai lesen dikeluarkan Suruhanjaya Tenaga (ST) berbanding 3,000 premis sama di seluruh negara.

“Berdasarkan maklumat, terdapat kira-kira 5,500 kedai dobi di seluruh negara. Daripada jumlah itu, 3,000 adalah kedai dobi layan diri manakala bakinya adalah kedai dobi biasa.

“Bayangkan, hanya 688 premis dobi layan diri yang mempunyai lesen. Bahasa mudahnya, premis yang selamat dikunjungi pengguna hanya berjumlah kecil berbanding kedai dobi yang ada. Pengguna sangat berisiko terbabit dalam kemalangan yang boleh membawa maut setiap kali berkunjung di kedai dobi tidak berlesen,” katanya.


SISTEM keselamatan sebuah kedai dobi layan diri yang mencapai piawaian ST di Kuala Lumpur.

Selain tidak mempunyai ciri keselamatan, sumber berkata, syarikat dobi layan diri juga dikesan ‘mencuri’ hasil negara kerana menggunakan gas LPG bersubsidi 14 kilogram (kg) bagi memaksimumkan keuntungan mereka.

“Kedai dobi sepatutnya menggunakan gas industi 50kg bukannya gas bersubsidi yang dikhaskan untuk kegunaan rumah. Ketirisan menyebabkan kerajaan rugi jutaan ringgit setiap tahun,” katanya.

Berdasarkan maklumat, kerajaan rugi hampir RM1.7 bilion dalam tempoh dua tahun akibat penggunaan silinder LPG bersubsidi oleh pengguna bukan daripada golongan sasar termasuk kedai dobi.

Mengimbau insiden letupan kedai dobi di Klang yang mengorbankan satu nyawa dan Jinjang tahun lalu, sumber itu berkata, siasatan mendapati pemilik dan pihak syarikat tidak mempraktikkan langkah keselamatan kebakaran.


KEDAI dobi yang mematuhi garis panduan ditetapkan bomba di Kuala Lumpur.

“Kes Klang contohnya, pemilik bukan saja tidak menyediakan ruang khas untuk gas, malah mengupah tukang masak untuk memasang sistem paip gas berkenaan. Ini memang bahaya kerana individu tidak bertauliah diberi tanggungjawab menyediakan sistem berkenaan,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, syarikat yang terbabit dalam letupan di Klang itu sudah menyediakan langkah keselamatan ditetapkan antaranya menyediakan tempat khas di premis itu bagi meletakkan tong gas selepas insiden itu berlaku.

Tambahnya, selain ruang khas menempatkan tong gas LPG, syarat lain perlu dipatuhi pemilik adalah menggunakan paip gas diluluskan ST, alat pengesan gas dan ruang udara.

Dalam perkembangan sama, sumber itu berkata, lesen kedai dobi layan diri dikeluarkan pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Situasinya amat berbeza sebelum dan selepas letupan di Klang. Sebelum insiden, PBT akan mengeluarkan lesen kepada pemilik setiap kali permohonan dilakukan. Kini, PBT akan merujuk JBPM dan ST terlebih dulu sebelum memberikan lesen,” katanya.


KEDAI dobi layan diri menyediakan alat pemadam api.

Elak nahas jika ikut prosedur bomba

Risiko kemalangan di kedai dobi layan diri di negara ini boleh dielakkan jika pengusaha mengikut prosedur dikeluarkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta mematuhi garis panduan ditetapkan.

Pengarah Bahagian Keselamatan Kebakaran JBPM, Edwin Galan Teruki berkata, setakat ini kejadian membabitkan mesin dobi adalah rendah, namun ia mampu mengancam keselamatan pengguna jika piawaian sepatutnya tidak dipenuhi.

Katanya, ketika ini hampir 3,000 pengusaha dobi berdaftar dengan jabatan itu dan masih ramai yang belum berbuat demikian dan ia dikhuatiri menimbulkan risiko jika berlaku kejadian tidak diingini.

“Kita tidak ada statistik tepat buat masa ini dan ramai lagi yang tidak berdaftar. Kita bimbang, jika Piawaian Malaysia MS830 tidak dipatuhi, boleh berlaku kejadian seperti pernah berlaku di Klang, tahun lalu.

“Mungkin ramai yang tidak tahu penggunaan pengering di premis yang tidak mengikut piawaian seperti menggunakan gas LPG berbeza dari saiz storan yang sepatutnya boleh menyebabkan kebakaran berlaku secara tiba-tiba,” katanya.

Beliau berkata, premis yang tidak menggunakan ruang khas serta tiada alat pengesan gas boleh mencetuskan letupan dan mencederakan pengguna yang berada di sekitar kawasan berkenaan.

“Kalau mengikut spesifikasi, ruang khas ini perlu ada ketahanan selama empat jam, mempunyai salur keluar gas di bahagian belakang serta saluran paip bersesuaian,” katanya.

Menurutnya, selain mengikut spesifikasi yang betul, pengendali juga perlu memastikan kedai dijaga dengan rapi, tersusun serta tidak terdedah kepada bahaya seperti membiarkan pakaian atau sampah ditinggalkan begitu saja yang boleh menjadi punca kepada kebakaran.

“Kita ada garis panduan hasil kerjasama dengan beberapa agensi seperti pihak berkuasa tempatan, Suruhanjaya Tenaga (ST) serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) untuk pastikan pengusaha dobi layan diri ini mematuhi peraturan sedia ada.

“Satu perkara yang kita perlu pastikan juga adalah setiap kedai mempunyai alat pemadam api yang boleh berfungsi sebagai persediaan sekiranya berlaku kebakaran atau nyalaan kecil yang boleh merebak jika tidak dikawal,” katanya.

Edwin berkata, pihaknya juga mendapati, tahap kesedaran dalam kalangan masyarakat mengenai kebakaran secara keseluruhannya masih rendah dan pihaknya giat menjalankan pelbagai kempen untuk memberi maklumat kepada orang ramai sebagai inisiatif berterusan.

“Justeru jabatan menasihatkan orang ramai agar berhati-hati ketika menggunakan peralatan di kedai dobi dan tidak melakukan tindakan yang boleh menyebabkan kebakaran seperti membuka bahagian dalam mesin atau membaiki sebarang kerosakan tanpa bantuan pakar atau juruteknik,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Oktober 2019 @ 10:00 AM
KONTRAKTOR pemasangan gas memeriksa saliran gas di sebuah kedai dobi layan diri.