Norhizam ketika sidang media di pekarangan Seri Negeri di Ayer Keroh, Melaka hari ini. Foto Rasul Azli Samad
Rizanizam Abdul Hamid


“TANGAN saya tidak digari, pejabat saya tidak digeledah sebaliknya hanya memberi keterangan kepada polis di pejabat berhubung penularan video di Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Kuala Lumpur petang tadi,” jelas Exco Pertanian, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Industri Asas Tani Melaka Datuk Norhizam Hassan Baktee.

Beliau berkata demikian susulan tular dakwaan beliau ditahan polis di pejabatnya di Seri Negeri, Ayer Keroh hari ini.

Dakwaan itu tular berikutan tersebarnya video mengenai insiden kekecohan yang tercetus ketika kunjungannya ke IPK Kuala Lumpur petang hari ini.

Mengulas lanjut, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Batu ketika ditemui media di pekarangan Seri Negeri berkata, kehadirannya ke pejabatnya pada 7.40 malam adalah untuk memberi keterangan kepada polis dan ia berakhir dua jam kemudian.


Kenderaan Norhizam keluar dari Seri Negeri di Ayer Keroh, Melaka hari ini. Foto Rasul Azli Samad

“Pejabat saya tidak digeledah sebaliknya hanya memberi keterangan mengenai video tular di IPK KL petang tadi.

“Sebelum itu, saya ada membuat laporan polis di Balai Polis Ayer Keroh meminta pihak polis menyiasat motif individu yang menyebarkan video berkenaan,” katanya.

Norhizam berkata, dia bersama kira-kira 20 ahli keluarga seorang ketua pegawai eksekutif kepada anak syarikat kerajaan negeri dan seorang ahli majlis pihak berkuasa tempatan (PBT) ke IPK KL pada 2 petang.

Menurutnya, mereka mahu melawat kedua-duanya yang ditahan pada 12 Oktober lalu mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

Penahanan kedua-dua individu yang juga ahli DAP itu dilakukan selepas disyaki terbabit dengan perjuangan kumpulan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).

“Selepas perbincangan, kesemua mereka dibenarkan masuk, manakala saya sebagai exco diminta tunggu di bilik kawalan di tepi pagar dan longkang kerana dimaklumkan tiada ruang legar atau tempat menunggu di situ.

“Ketika itulah rakaman video itu dilakukan walaupun ia adalah kawasan larangan hingga saya bersama dua lagi wakil kerajaan negeri terpaksa tunggu di luar pintu masuk,” katanya.

Selain Norhizam, dua wakil kerajaan negeri yang turut bersamanya ketika itu adalah Pengerusi DAP Melaka Datuk Tey Kok Kiew dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong, Damien Yeo Shen Li.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Oktober 2019 @ 11:37 PM