Peserta rombongan yang juga kakitangan PKNS selepas terbabit dalam kemalangan bas di Afyonkarahisar, Turki hari ini. FOTO Ihsan Pembaca
Muhaamad Hafis Nawawi


RAKYAT Malaysia maut selepas bas dinaiki ketika dalam perjalanan ke Cappodocia, Turki hilang kawalan sebelum terbabas hari ini.

Mangsa yang juga seorang lelaki masih belum diperolehi identitinya itu adalah antara 35 peserta rombongan yang terdiri daripada kakitangan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) ke negera itu.

Selain itu, 10 lagi dilaporkan cedera dalam kejadian terbabit.

Pemilik agensi pelancongan yang menguruskan rombongan itu berkata, rombongan itu sepatutnya bercuti di negara berkenaan sehingga 21 Oktober ini.

Menurutnya, bas yang dinaiki mereka itu dari Pamukkale menghala ke Cappadocia sebelum terbabit kemalangan.

“Saya difahamkan hujan di lokasi kejadian dan sebaik tiba di kawasan selekoh bas terbabit dilaporkan hilang kawalan sebelum tergelincir dan terbalik.

“Maklumat yang saya terima setakat ini difahamkan seorang daripada mereka meninggal dunia dan ada patah tangan dan kaki, mereka dihantar ke hospital di kawasan terbabit,” katanya ketika dihubungi di Kuala Lumpur hari ini.


Peserta mengikuti program yang diaturkan untuk mereka sebelum kemalangan. FOTO Ihsan Pembaca

Sementara itu, Wisma Putra dalam satu kenyataan mengesahkan insiden membabitkan rakyat Malaysia itu.

Kemalangan itu dilaporkan berlaku di Afyonkarahisar dan empat daripada mangsa tercedera dilaporkan mengalami kecederaan serius.

“Mangsa kemalangan sedang dirawat di Hospital Afyonkarahisar yang terletak kira-kira 300 kilometer daripada Ankara,” katanya.

Menurutnya, pihaknya sedang mengumpul maklumat lanjut daripada pihak berkuasa tempatan berhubung kejadian itu.

“Pegawai akan melakukan lawatan konsular secepat mungkin untuk memberikan bantuan sewajarnya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Oktober 2019 @ 12:05 AM