YAN Ke bercakap kepada wartawan di perkarangan bangunan Canseleri UM. FOTO Asyraf Hamzah
Rosyahaida Abdullah


GRADUAN yang mencetuskan kontroversi melakukan protes ketika Sidang Kelima Istiadat Konvokesyen Universiti Malaya (UM) Kali Ke-59, Isnin lalu, mahu Naib Canselor universiti itu berdepan dengannya untuk ‘berdamai’.

Wong Yan Ke, 23, yang didekati pemberita sebaik dikesan berlegar di hadapan Canseleri UM berkata, dia masih menunggu jawapan daripada Datuk Dr Abdul Rahim Hashim untuk berjumpa dengannya bagi tujuan rundingan damai itu.

“Pada saya, beliau sepatutnya berdepan dengan saya, bukannya berdiri di belakang persatuan atau sebagainya, malah menyorok selepas laporan polis dibuat.

“Sebelum ini pun, saya pernah beberapa kali menghantar surat dan memorandum berkenaan isu lain membabitkan mahasiswa tetapi beliau tidak pernah memberikan maklum balas,” katanya.

Ditanya sama ada dia akan meminta maaf kepada Abdul Rahim atas tindakannya, Yan Ke berkata, perkara itu akan hanya dilakukan sekiranya Naib Canselor itu terlebih dulu meminta maaf atas kenyataan beliau yang dianggapnya sebagai perkauman.

“Dia juga perlu meminta maaf kerana menyalahgunakan kuasanya untuk mengadakan kongres yang berbaur perkauman (sebelum) ini,” katanya.

Dalam pada itu, dua kesatuan yang bernaung di bawah Universiti Malaya (UM) hari ini menyerahkan memorandum kepada Naib Canselornya, Datuk Dr Abdul Rahim Hashim sebagai tanda sokongan terhadap kepimpinan beliau.

Kesatuan terbabit adalah Kesatuan Kakitangan Am UM (KKAUM) dan Persatuan Pegawai Tadbir dan Ikhtisas UM (PEKERTI).

Presiden KKAUM, Mazmir Mohd Amin berkata, kesatuan mewakili seluruh staf pelaksana mengecam sekeras-kerasnya perbuatan graduan kejuruteraan, Yan Ke, pada istiadat konvokesyen UM, baru-baru ini.

Menurutnya, tindakan graduan itu bukan saja tidak beradab, malah tidak menghormati istiadat sekali gus mengganggu kelancaran majlis berkenaan.

“Kami selaku kesatuan dan mewakili staf pelaksana yang bernaung di bawah UM menyokong penuh kepimpinan Naib Canselor dan pengurusan UM.

“Kami juga bersetuju dan menyokong sekiranya pihak pengurusan mengambil sebarang tindakan terhadap graduan terbabit yang sudah mencemarkan nama serta maruah UM,” katanya selepas menyerahkan memorandum itu kepada Abdul Rahim di Canseleri UM, Kuala Lumpur.

Presiden PEKERTI, Nor Aishah Samah turut menyifatkan tindakan Yan Ke adalah tidak beradab, malah tidak sepatutnya dilakukan penuntut institusi pengajian tinggi.

“PEKERTI sentiasa menyokong kebebasan bersuara dalam kalangan penuntut dan kakitangan. Bagaimanapun, ia harus disalurkan secara diplomasi dan beretika menggunakan platform sewajarnya.

“Kami juga tidak bersetuju dengan desakan kumpulan tertentu supaya Naib Canselor meletakkan jawatan. Kami teguh bersama Naib Canselor dan pengurusan UM dalam hal ini,” katanya.

Sementara itu, Abdul Rahim yang menerima sendiri memorandum itu di luar pejabatnya hanya tersenyum dan tidak memberikan sebarang kenyataan sebelum terus beredar sebaik selesai sesi bergambar.

Dalam kejadian Isnin lalu, Yan Ke yang juga graduan kejuruteraan awam bertindak mengeluar dan menayangkan plakad tertera perkataan, ‘Tolak Rasis’ dan ‘Undur VC’ sebaik menerima skrol ijazahnya ketika berada di atas pentas pada sidang konvokesyen universiti itu.

Graduan terbabit turut melaungkan perkataan itu sambil menjerit, “ini tanah Malaysia.”

Berita berkaitan

UM ada hak tarik balik atau tahan ijazah

'Tak setuju tarik balik ijazah - Syed Saddiq'

'Kerani cakap transkrip ijazah saya kotor'

Polis siasat graduan biadab

Nak protes boleh tapi tempat lain

UM lapor polis isu graduan biadab

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Oktober 2019 @ 8:07 PM