Skip this ad x
NABILA bersyukur dengan apa dikecapi. FOTO Aziah Azmee
Ramlah Zainal


ENAM tahun membina nama sebagai anak seni, penyanyi dan pelakon, Nabila Razali mengakui sudah mampu menarik nafas lega dengan apa yang dikecapinya hari ini.

Bagaimanapun, pemilik nama sebenar Nur Nabila Mohd Razali, 26, ini tidak mahu leka dibuai populariti kerana sedia maklum dengan turun naik kerjaya seni.

Digilap menerusi program realiti Akademi Fantasia 2013, Nabila bersyukur apabila kehadirannya dalam bidang nyanyian semakin diterima baik.

“Alhamdulillah, saya sangat gembira dengan sambutan peminat terhadap single Pematah Hati dan Vroom Vroom yang menjadi siulan ramai.

“Namun, saya perlu bekerja keras untuk mengukuhkan nama dalam bidang seni kerana kontrak bersama Seventeen Eleven Music berakhir pada Februari lalu.

“Walaupun kini bergerak sendiri, kerjaya seni masih diuruskan pengurusan yang sama,” katanya.

Mengenai bakatnya yang terus dipertikai peminat, Nabila tidak cepat melatah kerana akur dengan hakikat bukan semua orang dapat menerimanya.

Terbaharu, bakatnya dibandingkan netizen dengan Juara program Big Stage 2019 dari Korea Selatan, Han-Byul.

Netizen mendakwa, nyanyian Han-Byul ketika mempersembahkan lagu Vroom Vroom pada minggu kedua pertandingan itu lebih baik daripada Nabila malah berjaya menyuntik nafas baharu terhadap karya berkenaan.

Sebagai penyanyi asal lagu Vroom Vroom, Nabila berkata, dia bangga apabila Han-Byul menyampaikan lagu terbabit dengan baik.

“Saya memang menyokong Han-Byul sejak minggu pertama hinggalah dia bergelar juara Big Stage 2019.

“Saya tidak kecewa apabila netizen membandingkan vokal saya dengan artis luar kerana percaya setiap penyanyi ada kelebihan dan kekurangan masing-masing,” katanya.

Kata Nabila, dia tidak kisah jika mana-mana artis luar mahu menyanyikan lagu Vroom Vroom mengikut versi mereka.

“Apabila artis luar seperti Han-Byul menyanyikan lagu saya, secara tidak langsung dia mempromosikan lagu Vroom Vroom ke Korea Selatan,” katanya.

Ditanya perancangan untuk memperbaiki prestasi nyanyian pula, kata Nabila, dia ada mengikuti kelas vokal.

“Sibuk macam mana sekali pun dengan aktiviti seni, saya akan mencari masa untuk berlatih menyanyi di rumah.

“Selain kelas vokal dan berlatih menyanyi di rumah, saya juga jaga makan dan melakukan aktiviti yang dapat meningkatkan stamina,” katanya.

Berduet dengan Sufian Suhaimi

Pernah digosipkan bercinta apabila memuat naik gambar sama di laman sosial tahun lalu, Nabila tidak dapat mengelak jika peminat mengaitkan dia dan Sufian Suhaimi ada hubungan istimewa apabila berduet tidak lama lagi.

“Saya tidak dapat elak jika peminat mengaitkan kami bercinta.

“Terus terang, saya memilih Sufian untuk projek lagu duet kerana kami sudah kenal lama dan mengetahui kemampuan masing masing,” katanya.

Bagaimanapun, kata Nabila, pihaknya masih mencari material sesuai untuk projek duet itu.

“Bukan mudah mencari lagu yang menepati cita rasa kami berdua.

“Pada masa sama, saya dan Sufian terikat dengan komitmen kerja dan perlu mencari masa untuk merealisasikan projek duet ini,” katanya.

Selain itu, Nabila turut berkongsi mahu bekerjasama dengan lebih ramai komposer pada masa depan.

“Setakat ini, saya sudah bekerja dengan komposer hebat iaitu Hael Husaini dan Ezra Kong. Apa yang boleh dikatakan, kami serasi.

“Namun, saya teringin bekerjasama dengan penyanyi dan komposer bagus seperti Aizat Amdan Faizal Tahir, Sam Bunkface dan Alif Sleeq,”katanya.

Selain lagu duet dengan Sufian, Nabila juga merancang berkolaborasi dengan dua artis wanita menerusi lagu genre pop.

“Sebelum ini, ada artis wanita bergabung tetapi menerusi lagu balada.

“Saya pula mahu berkolaborasi dengan dua artis wanita menerusi lagu pop.

“Antara artis yang bawa lagu genre sama dan boleh berkolaborasi dengan saya ialah Ayda Jebat serta Elizabeth Tan,” katanya.

Mengenai karier lakonan pula, kata Nabila, dia baru selesai penggambaran drama bersiri Pesan Dari Hati untuk Slot Lestary TV3.

“Menerusi drama yang akan menemui penonton hujung bulan ini, saya bergandingan dengan Syukri Yahaya. Tak sabar rasanya mahu lihat maklum balas penonton,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Oktober 2019 @ 5:30 AM