Elvyana bersama Zulhaikal. Foto Ihsan Elvyana Elsa
Amirul Haswendy Ashari.


“SEBAIK saja dia rap, semua orang terkejut dan menyanyi bersama-sama,” kata Elvyana Elsa, 28, guru Sekolah Kebangsaan (SK) Holy Trinity, Tawau mengenai video muridnya menyanyikan lagu Haa Tepok yang dipopularkan K-Clique bersama MeerFly dan Kidd Santhe.

Video nyanyian rap Muhammad Zulhaikal Abd Hasim, 10, itu mendapat lebih 25,000 tontonan sejak dimuat naik pada 11 Oktober lalu.

Guru Sejarah itu ketika dihubungi Harian Metro berkata, pada hari itu berlangsung program Sayangi Sekolah Kita.

“Saya jadi juri acara karaoke dan Zulhaikal tak sempat mendaftar untuk menyertai pertandingan itu.

“Bagaimanapun, ketika pertandingan itu ada acara selingan dan membuka peluang ke murid untuk menyanyi di pentas,” katanya.

Guru itu akui, sebaik saja Zulhaikal menyanyi dan mulai rap, semua terkejut dan tidak sangka dia berbakat sebagai penghibur.

Menurut Elvyana lagi, murid tahun empat itu sangat gembira kerana rakan-rakannya mula menggelarkan dia sebagai MK (ahli kumpulan K-Clique).


Zulkaikal menunjukkan bakat rap hingga mendapat perhatian ramai di SK Holy Trinity, Tawau. Foto Ihsan Elvyana Elsa

“Saya agak terkejut video itu boleh tular tetapi masa sama saya bangga sebab orang lain boleh nampak bakat yang ada pada Zulhaikal.

“Dia seorang pelajar yang rajin dan bertanggungjawab malah disenangi rakan-rakan serta guru di sekolah,” katanya.

Dalam pada itu, Elvyana akui ada menitipkan pesan pada muridnya itu untuk utamakan pelajaran tetapi masa sama terus mengasah bakat sedia ada sebab tidak semua orang dianugerahkan bakat sepertinya itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Oktober 2019 @ 8:25 PM