PEMILIK kereta (gambar kanan) yang disangka lemas muncul ketika operasi mencari dan menyelamat. FOTO Ihsan Bomba
Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi


PASUKAN Bomba dan Penyelamat yang melakukan operasi menyelamat seorang lelaki dikhuatiri terperangkap dan lemas dalam sebuah kereta akibat terbabas ke dalam tali air, tidak menyangka lelaki itu rupa-rupanya balik ke rumah menukar pakaian.

Dalam kejadian di Jalan Kuala Gula di Bagan Serai, hari ini, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kurau melakukan operasi itu selepas menerima panggilan awam mengenai kemalangan pada 2.31 petang dan tiba di lokasi kejadian kira-kira 15 minit kemudian.

Jurucakap BBP Kuala Kurau berkata, sebaik tiba di lokasi kejadian anggota dari balai berkenaan bertindak menyelam bagi mencari mangsa yang dikhuatiri terperangkap dalam kereta Mercedes Benz itu.

“Selama 15 minit operasi mencari mangsa dijalankan, namun tiada individu ditemui dalam kenderaan itu.

“Ketika operasi sedang dijalankan, seorang lelaki berusia lingkungan 50-an tiba-tiba muncul di lokasi kejadian dan memaklumkan dia adalah pemandu serta pemilik kereta itu,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Jurucakap itu berkata, lelaki berkenaan memberitahu kenderaannya hilang kawalan dan terbabas ke dalam tali air berkenaan kira-kira 1.30 tengah hari akibat cuba mengelak babi hutan yang melintas jalan.

“Mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan dan berjaya keluar dari kenderaannya sebelum pulang ke rumah dengan dihantar rakan.

“Lelaki itu memaklumkan dia pulang ke rumah untuk membersihkan diri dan menukar pakaian sebelum datang semula ke lokasi untuk melihat kenderaannya yang hampir tenggelam,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Oktober 2019 @ 8:35 PM