AMIERA Zahira (kanan) bersama keluarga.
Oleh Rosyahaida Abdullah


Menjana pendapatan sendiri hampir RM10,000 ketika usia baru menganjak 12 tahun mungkin kedengaran mustahil.

Namun, itu jumlah yang pernah diperoleh Aliya Maisarah Ismail ketika aktif melakukan ulasan berbayar (paid review) di laman Instagramnya tiga tahun lalu.

Terkejut dengan jumlah yang diterima, Aliya Maisarah, 15, bagaimanapun mula belajar untuk berbelanja menggunakan duit sendiri hasil servis ulasan berbayar itu tanpa mengharapkan lagi wang pemberian ibu atau bapanya.

Menggunakan nama @liyamaisarah_ untuk akaun Instagramnya, Aliya Maisarah menyedari pengikutnya di laman sosial itu mula bertambah selepas kerap berkongsi gambar wajahnya yang disolek sendiri seperti wanita dewasa.


ALIYA Maisarah mula mendapat pengikut yang ramai di laman Instagram selepas berkongsi gambar yang dimekap sendiri pada usia 12 tahun.

“Ketika itu, saya gemar tengok gambar wajah wanita yang disolek cantik tidak kira siapapun. Saya tiru solekannya, ambil gambar dan kongsi di Instagram.

“Pada masa sama, saya juga aktif bermain aplikasi Musical.ly, sekali gus memperoleh pengikut di situ yang kemudian turut mengikuti saya di Instagram.

“Seingat saya, rata-rata pengikut Instagram saya memuji saya kerana berkebolehan mekap sendiri pada usia masih kecil.

“Ada juga yang tanya jenama alat mekap yang saya gunakan, puji pemakaian saya dan macam-macam lagi. Mungkin itu juga faktor mereka mengikuti saya,” katanya.

Jelas Aliya Maisarah, sedikit demi sedikit pengikutnya bertambah dan dia mula fikir untuk memanfaatkan kelebihan itu dengan mencari duit poket sendiri.

“Maka di situ bermulanya saya tawarkan khidmat ulasan berbayar dengan caj RM30 untuk setiap ulasan. Ketika itu, pengikut saya mencecah 80,000.


AMIERA Zahira antara Instafamous muda yang turut menjana pendapatan dengan melakukan ulasan berbayar di Instagram.

“Sambutan sangat hebat walaupun saya naikkan caj sedikit demi sedikit sehingga ratusan ringgit mengikut jumlah pengikut.

“Kini, saya terpaksa memilih untuk lakukan ulasan berbayar disebabkan jadual agak padat sejak saya mula berlakon dalam drama untuk Astro Ceria mulai Mac tahun ini,” katanya yang kini mempunyai 1.2 juta pengikut di Instagram.

Bagi Amiera Zahira Witthawint, 16, telefon pintar yang diberikan ibu ketika ulang tahun kelahirannya digunakan untuk pelbagai perkara termasuk bermain aplikasi TikTok dan Instagram.

Malah, sepupu Mawar Rashid ini juga merasakan pengikutnya semakin ramai selepas pelakon itu pernah berkongsi story di Instagram membabitkannya.

“Saya aktif bermain TikTok jadi majoriti mereka yang mengikuti saya di TikTok turut mengikut saya di Instagram.

“Kemudian, Mawar Rashid pula berkongsi story mengenai saya di Instagramnya. Disebabkan itu, pengikut saya semakin ramai dan saya pun mula mencuba untuk mencari pendapatan melalui ulasan berbayar.

“Alhamdulillah, keluarga tidak halang apa yang saya lakukan sebab sejak awal pun, saya memang disiplinkan diri untuk terus siapkan kerja sekolah dan ulang kaji pelajaran sebelum bermain telefon pintar,” katanya.

Berbanding RM30 untuk gambar dan RM40 untuk video bagi caj ulasan berbayar yang ditetapkan sebelum ini, kini Amiera Zahira yang menggunakan nama @myrawitthawint di laman Instagramnya mengenakan caj RM100 untuk gambar dan RM200 untuk video.

Sementara itu, Ahmad Akid Zulkiflee, 18, yang juga dianggap Instafamous menerusi jumlah pengikutnya yang melebihi 500,000 kini turut menjana pendapatan melalui ulasan berbayar.

Katanya, dia mula bermain Instagram pada usia 13 tahun dan jumlah pengikutnya kian meningkat selepas video tarian kiki challenge yang dikongsi di laman itu mulai tular.

“Hasil bapa berniaga di pasar malam, saya gunakan duit itu untuk beli telefon pintar pertama saya.

“Alhamdulillah dengan duit ulasan berbayar ini juga saya kini bantu bayar bil elektrik rumah setiap bulan serta beli makanan untuk keluarga,” kata anak ketiga daripada lima beradik ini.


AHMAD Akid (tengah) bersama keluarganya pada Aidilfitri lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Oktober 2019 @ 7:00 AM