MOHD Isa (baju putih) selamat dinikahkan jurunikah di bilik khas Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar. FOTO MOHD RIZAL ABDULLAH
Mohd Rizal Abdullah


MAJLIS pernikahan pasangan warga emas ini boleh dianggap bermakna apabila mereka tidak dinikahkan di masjid, sebaliknya di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar, hari ini.

Pasangan Mohd Isa Taman, 62, dan isteri, Balqis Mahmud,63, terpaksa dinikahkan di hospital apabila jurunikah mereka terpaksa ditahan di wad hospital akibat faktor kesihatan.

Mohd Isa berkata, mereka sepatutnya dinikahkan di Masjid Tunku Kalsom, Langgar hari ini, tetapi jurunikah terpaksa ditahan di wad sejak dua hari lalu.

“Alhamdulillah, kesihatan jurunikah bertambah baik dan pihak hospital membenarkan majlis pernikahan berlangsung di hospital hari ini.

“Saya membayangkan akan dinikahkan di bilik wad, sebaliknya kami diberikan bilik khas ketika majlis pernikahan berlangsung,” katanya ketika ditemui Harian Metro.

Katanya, dia selamat diijabkabulkan jam 10.45 pagi dengan dihadiri ahli keluarga kedua-dua pihak.

“Alhamdulillah, majlis berlangsung dengan baik meskipun tidak seperti dirancang dan majlis persandingan akan berlangsung di Kampung Tanjung Inggeris di Langgar,” katanya.

Mohd Isa berasal dari Kampung Hangus, Baling, berkata perkahwinan itu adalah yang kedua selepas isterinya meninggal dunia, Mei tahun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Oktober 2019 @ 2:22 PM