WAJAH naif Sulli membuatnya dia digelar ‘fake maknae’ ketika masih bersama kumpulan f(x).
Ardini Sophia Sina

SUDAH enam hari berlalu namun sehingga hari ini, masih ramai yang meratapi pemergian Sulli. Kematian selebriti popular Korea Selatan itu membuka mata banyak pihak bahawa kemurungan dan buli siber bukan isu enteng.

Berita kematian bintang terkenal itu pada Isnin lalu bukan saja mengejutkan peminat tetapi juga rakan artis. Ramai yang membuat andaian Sulli mengakhiri hidupnya kerana sudah tidak mampu bertahan dengan komen berunsur kebencian daripada netizen.

Memulakan kembara seni pada usia 11 tahun, nama sebenarnya Cha Jin-ri melakar kanvas karier dengan membintangi siri Vacation, Punch Lady, The Flower Girl Is Here dan BABO.

Bernaung di bawah pengurusan SM Entertainment, Sulli terus melebarkan sayap dalam bidang nyanyian dengan menjadi anggota kumpulan f(x) bersama Amber Liu, Krystal Jung, Luna dan Victoria.

Kerjaya Sulli semakin kukuh apabila diberikan kepercayaan memegang watak utama menerusi drama To The Beautiful You. Melakonkan dua karakter iaitu sebagai Goo Jae-he dan Jay Dawson, wanita itu berjaya membawa pulang trofi Anugerah Bintang Baharu dan Anugerah Pasangan Terbaik pada malam kemuncak SBS Drama Awards.

Popular dan berjaya dalam bidang seni, kedua-dua perkara itu bagaimanapun tidak menjamin kebahagiaan. Malahan, ia membuatkan dia semakin terdedah dengan kecaman dan komen negatif daripada individu yang bersembunyi di sebalik akaun palsu.

Pada 2014, sebaik mengesahkan hubungan cinta dengan Choiza, kedua-dua selebriti itu setiap hari menerima komen jahat. Mereka terpaksa menempuh situasi itu sepanjang perhubungan.

Pernah satu ketika, Choiza kehilangan dompetnya. Ada pihak tidak bertanggungjawab memuat naik gambar dompet yang turut mengandungi gambar Sulli. Ia menyebabkan kekecohan di media sosial dan buli siber terhadap wanita itu semakin parah.

Tahun yang sama, pihak pengurusan mewakili Sulli mengumumkan selebriti itu ingin berehat seketika daripada dunia seni kerana terlalu ‘letih’ dengan komen jahat serta fitnah terhadapnya. Hubungan Sulli dan Choiza bagaimanapun hanya bertahan kira-kira empat tahun iaitu dari 2013 dan berakhir pada 2017.

Mengakui ada masalah kecelaruan panik dan fobia sosial sejak usia muda, Sulli dalam satu temu bual sebelum ini pernah mendedahkan, dia menghadapi masa sukar untuk menangani komen-komen berbaur kebencian yang disasarkan kepadanya.

Sulli menerusi temubual rancangan anekaragam Reply Night juga berkata, hidupnya kosong dan berasakan dia berbohong kepada semua orang dengan berpura-pura gembira.

Wanita itu turut berkali-kali meminta bantuan daripada pengurusan untuk mencari penyelesaian masalah buli siber. Bagaimanapun, ia sukar ditangani kerana alamat IP yang digunakan sukar dijejaki.

Sulli juga pernah berkongsi perjalanannya melawan masalah mental yang dihidapinya, bagaimanapun perkara itu sedikit pun tidak menimbulkan perasaan simpati dalam diri mereka yang membencinya.

Bahkan, ia menjadi isu baharu bagi golongan itu untuk terus menerus berkata buruk mengenai Sulli. Setiap pergerakan wanita itu juga diperhatikan dan dibahaskan secara kasar oleh netizen.

Mayat Sulli ditemui pengurusnya di rumah wanita itu di pinggir bandar Seoul, Korea Selatan. Pengurus selebriti itu datang ke rumahnya selepas gagal menghubungi bintang itu.

Sejurus berita kematian itu dilaporkan, video dari Instagram Live wanita itu mula tular. Menerusi video pertama, Sulli bertanya apa yang dia sudah lakukan hingga menyebabkan ramai bercakap buruk mengenainya.

Video kedua pula menunjukkan dia sedang menangis. Dipercayai, IG Live memaparkan Sulli dengan mata bengkak dan berkaca itu dibuat pada 12 Oktober 2019, dua hari sebelum dia ditemui meninggal dunia.

Susulan kematian Sulli, orang ramai mula menandatangani petisyen menggesa pihak kerajaan mewajibkan setiap individu harus menggunakan identiti sebenar di media sosial bagi mencegah perkara seperti ini berulang kembali.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Oktober 2019 @ 5:45 AM