KENDERAAN pasangan kekasih itu. FOTO Ihsan Polis
Shamsul Munir Safini


PASANGAN kekasih nyaris lemas selepas kereta dinaiki terbabas ke dalam longkang ketika melarikan diri daripada polis di Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth (BORR) dekat Butterworth, malam tadi.

Dalam kejadian itu, pemandu, lelaki berusia 19 tahun dan kekasihnya berusia 25 berkenaan juga merempuh seorang penunggang motosikal berusia 28 tahun sehingga parah.

Kenderaan mereka kemudian terbabas ke dalam longkang di Kilometer 11.1 BORR arah Sungai Dua.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, sebelum itu, polis melakukan pemeriksaan ke atas kereta berada di lorong kecemasan lebuh raya itu.

“Mereka dikatakan sedang bercumbu di dalam kereta. Menyedari kehadiran polis, pemandu kereta takut dan bertindak memecut melarikan diri menghala ke arah Plaza Tol Bagan Ajam arah Sungai Dua sebelum dikejar polis.

“Suspek juga bertindak melanggar palang tol dan sebaik sampai di KM11.1 lebuh raya itu, kereta itu hilang kawalan sebelum terbabas ke kiri jalan dan melanggar sebuah motosikal yang datang dari arah yang sama,” katanya.


Pasangan kekasih berkenaan. FOTO Ihsan Polis

Beliau berkata, kereta dipandu suspek dan motosikal yang dirempuhnya terjatuh ke dalam longkang di tepi lebuh raya yang dipenuhi air.

“Kedua-dua suspek diselamatkan oleh anggota polis, manakala penunggang motosikal yang parah dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk rawatan,” katanya.

Noorzainy berkata, pasangan berkenaan yang juga penuntut di sebuah institut kemahiran ditahan selepas mendapatkan rawatan pesakit luar di Hospital Kepala Batas.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan berbahaya sehingga menyebabkan kemalangan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Oktober 2019 @ 1:28 PM