Ferzalfie Fauzi dan Syazwan Msar


ASALNYA hanya mengisi masa lapang dan berhibur bersama rakan, namun Playerunknowns Battlegrounds (PUBG) Mobile berjaya menghimpunkan empat gadis untuk membentuk pasukan e-sukan yang diberi nama Axis Limitless, sekali gus bakal mengegarkan arena sukan terbabit pada masa depan.

Dianggotai gadis berusia antara 18 hingga 26 tahun, Axis Limitless adalah pasukan PUBG Mobile wanita yang semakin meningkat dan digeruni lawan termasuk daripada kaum lelaki kerana ketangkasan serta kecekapan mereka dalam sukan terbabit.

Axis Limitless dianggotai Fara Umaina Fahruddin, 18; Nurul Juita Mohd Azman, 19; Nor Erinna Mohd Jasni, 23; dan Shahila Shariff, 26, dengan pasukan mereka antara empat terbaik dalam kejohanan PUBG Mobile Wanita baru-baru ini.

Kapten, Nor Erinna atau lebih dikenali sebagai Erin berkata, Axis Limitless boleh dikatakan masih baru dalam sukan terbabit apabila ditubuhkan kira-kira beberapa bulan lalu.

Erin berkata, kejohanan pertama yang disertai mereka adalah membabitkan Grand Final Festival E-Sukan Pulau Pinang dengan berjaya meraih antara 10 terbaik daripada 128 pasukan bertanding.

“Pada asalnya, kebanyakan yang menyertai Axis Limitless adalah bermula dengan hanya mengisi masa lapang atau mengikut rakan sebelum terbabit secara serius seterusnya menubuhkan pasukan untuk menyertai pertandingan.

“Kami mempunyai keserasian dan boleh bekerjasama sebagai pasukan. Pada masa sama mengambil keputusan menyertai pertandingan bagi melihat sejauh mana kemampuan serta kebolehan yang ada,” katanya ketika ditemui Arena Metro.

Sementara itu, Shahila berkata, latihan secara konsisten dengan memperbaiki setiap kelemahan yang ada menjadi kunci dalam mengekalkan pasukan supaya sentiasa berada pada tahap optimum.

Katanya, kepercayaan antara rakan sepasukan begitu penting supaya tiada masalah lain timbul hingga menjejaskan hubungan atau kesepakatan dan berakhir dengan kejatuhan.

“Kami mempunyai matlamat jelas iaitu mahu menjadi antara pasukan PUBG wanita terbaik mewakili negara ke peringkat antarabangsa dan membuktikan pasukan yang dianggotai semua wanita boleh memberi saingan serta bukan belasahan,” katanya.

Selain itu, Shahila berkata, pelbagai cabaran dan rintangan yang dilalui oleh pasukan termasuk menangani persepsi masyarakat yang melihat wanita menceburi e-sukan sebagai perkara tidak berfaedah.

“Selain menjana pendapatan, sukan ini memberi peluang untuk mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa seterusnya memberi amaran pasukan wanita Malaysia turut hebat dalam e-sukan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Oktober 2019 @ 6:30 AM
DARI kiri, Shahila, Fara Umaina, Nurul Juita dan Nor Erinna mahu menjadi antara pasukan PUBG wanita terbaik mewakili negara ke peringkat antarabangsa.