PENYERANG berbaju hitam dilihat memegang pisau.
Agensi

LELAKI dipercayai pro-Beijing menikam dan mengelar leher seorang sukarelawan penunjuk perasaan Hong Kong menyebabkan mangsa cedera parah di sebuah stesen kereta api di sini, kelmarin.

Dalam rakaman video yang tular di media sosial, penyerang berbaju hitam itu dilihat melibas pisau di tempat kejadian manakala rakan mangsa menjerit meminta orang ramai memanggil ambulans.

Gambar disiar media Hong Kong menunjukkan mangsa terbaring cedera parah dengan organ dalam perut kelihatan.

Menurut laporan portal berita news.com.au, serangan berlaku di stesen kereta api bawah tanah Tai Po pada kira-kira jam 5.30 petang ketika mangsa berusia 19 tahun bersama rakan-rakannya mengedarkan risalah menjelang perhimpunan tunjuk perasaan semalam.

Penyerang terbabit mencabut poster dan risalah yang ditampal pada dinding stesen sebelum menyerang mangsa.


MANGSA terbaring cedera parah selepas ditikam.

“Lelaki itu menerkam mangsa dan mengelar lehernya. Rakan saya cuba berlari namun terjatuh dan lelaki itu datang menikam perutnya,” kata saksi memberitahu Radio Television Hong Kong.

Selepas melakukan serangan itu, penyerang terbabit berjalan ke perhentian bas dan melibas-libaskan pisau serta melaungkan kata-kata menghina penunjuk perasan.

“Kamu belia Hong Kong tidak berguna dengar sini, Hong Kong sebahagian daripada China dan saya akan melawan siapa saja mengganggu Hong Kong,” katanya dalam bahasa China.

Lelaki itu kemudian melarikan diri dengan menaiki teksi.

Polis Daerah Tai Po mengesahkan pihaknya sudah menahan penyerang berusia 22 tahun itu.

Beberapa penunjuk perasaan cedera diserang di stesen kereta api itu sejak bantahan bermula 20 minggu lalu, bertukar menjadi ganas.

Rabu lalu, aktivis pro-demokrasi Hong Kong, Jimmy Sham, cedera akibat diserang dengan tukul oleh sekumpulan lelaki.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Oktober 2019 @ 6:35 AM