MUHAMAD Uzair (dua dari kanan) bersama ibu bapa dan adiknya.
Nur Saliawati Salberi


“HAKIKATNYA saya tidak kuat, tetapi saya perlu menguatkan semangat demi suami kerana dia amat rapat dengan anak,” kata NorShazelah Rosli, 27, ibu kepada kanak-kanak lelaki empat tahun yang lemas ketika mandi di sebuah taman tema air di Melaka Tengah, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 3 petang itu, Muhamad Uzair Amri Mohd Nur Fikri, ditemui pengunjung taman tema air itu dalam keadaan tidak sedarkan diri.

Menurut ibu kepada dua anak itu, dia bersama keluarga tiba di taman tema itu jam 1 tengah hari, dari Kulai Johor.

Katanya, anak sulungnya amat teruja sebaik tiba di situ kerana sudah lama berhajat mandi di taman tema air.

“Saya dan suami memang tidak memaklumkan kepadanya untuk ke sini, kononnya untuk buat kejutan tetapi lain pula yang berlaku.

“Dia ingatkan kami ingin membawanya ke pantai, tetapi apabila tiba dan masuk bilik dia terus salin pakaian ajak turun bermain air,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Melaka, semalam.

Katanya, dia tidak sangka rasa tak sedap hati ketika mohon untuk bercuti petanda berdepan dengan kejadian ini.

Menurutnya, jenazah anaknya itu dijangka dikebumikan di kampung halaman suaminya di Felda Bukit Ramun, Kulai, Johor.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad mengesahkan kejadian.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Oktober 2019 @ 6:40 AM