SITI Norzurain Fatima memangku Siti Nurjannah Umaira yang menghidap tujuh penyakit selepas disyaki mengalami sindrom vacterl.
Roselan Ab Malek


USIANYA baru mencecah dua tahun, namun penderitaan ditanggungnya bukan kepalang apabila disahkan menghidap tujuh penyakit akibat sindrom vacterl.

Siti Nurjannah Umaira Ahmad Zainuddin disahkan mengalami masalah buah pinggang, jantung, paru-paru kecil, tulang tidak sempurna, sumbing lelangit, sukar menelan makanan dan bercakap yang mana ia hanya terjadi satu dalam 4,000 kelahiran.

Anak pasangan Ahmad Zainuddin Abdul Rahman, 45, dan Siti Norzurain Fatima Ab Razak, 31, disahkan pakar menghidap penyakit itu sejak dilahirkan.

“Saya tidak tahu anak mengalami pelbagai masalah kerana ketika dalam kandungan tiada tanda dan selepas dilahirkan di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, (HOSHAS) Temerloh, barulah doktor mengesahkan dia menghidap sindrom itu.

“Doktor menempatkannya ke Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU) selama empat bulan dan dua bulan di wad biasa sebelum dibawa pulang,” katanya yang menetap di Kuala Teh di sini, semalam.

Siti Norzurain Fatima berkata, Siti Nurjannah Umaira yang juga anak bongsu daripada tiga beradik menjalani rawatan jantung dan buah pinggang di HOSHAS serta akan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) tiga bulan sekali untuk merawat tulang.

“Kini, anak saya tidak mampu berjalan dan duduk. Saya perlu mendukungnya. Dia juga tidak boleh makan makanan keras kecuali susu yang perlu dimasukkan melalui hidungnya.

“Dia memerlukan sekurang-kurangnya tiga tin susu khas. Kami bernasib baik Klinik Desa Kuala Teh menyumbang dua tin susu sebulan,” katanya.

Siti Norzurain Fatima juga perlu menjaga anak sulung mereka Ahmad Adi Putra, 10, yang menghidap penyakit jantung berlubang dan suami yang mempunyai masalah kesihatan serta tidak mampu membuat kerja berat.

“Saya kini terpaksa menjual nasi lemak setiap hari bagi menampung perbelanjaan keluarga di samping berharap suami dapat bekerja,” katanya.

Orang ramai yang ingin membantu Siti Nurjannah Umaira boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) 0605502 0344689 atas nama Siti Norzurain Fatima Ab Razak.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Oktober 2019 @ 6:45 AM