Mohd Jamilul Anbia Md Denin dan Ekhwan Haque Fazlul Haque


FAKTA mengejutkan apabila hampir semua cecair perisa atau flavour vape yang dijual di pasaran dikesan mengandungi nikotin tinggi walaupun larangan penggunaan bahan itu sudah dikeluarkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Sumber Kementerian Kesihatan berkata, berdasarkan risikan dan pembelian test buy dilakukan pihaknya membabitkan lebih 20 syarikat utama yang juga pengeluar cecair perisa vape di negara ini mendapati majoriti cecair itu mengandungi nikotin.

“Hasil ujian makmal mendapati wujud unsur nikotin pada cecair vape yang dihasilkan. Ini jelas bertentangan dengan larangan menjual nikotin mengikut Akta Racun 1952 dengan penguatkuasaan di bawah KKM.

“Ingin ditegaskan, cecair perisa vape mengandungi nikotin adalah diharamkan dijual sama sekali kepada pengguna sama ada berusia 18 tahun ke bawah atau ke atas. Mengikut peruntukan Akta Racun 1952, sebarang tindakan memiliki untuk tujuan jualan, menjual dan mengimport cecair perisa vape mengandungi nikotin adalah satu kesalahan.

“Sebarang penjualan, pembekalan, pengilangan dan pengimportan cecair vape mengandungi nikotin boleh didenda tidak lebih RM3,000 atau penjara tidak lebih setahun atau keduanya sekali.

“Pihak KKM memulakan siasatan ini sejak tiga bulan lalu selepas mendapat maklumat kandungan nikotin dicampur di dalam flavour vape. Ini jauh lebih berbahaya dan boleh memberi kesan lebih buruk kepada kesihatan,” katanya.

Menurutnya, isu ini tambah membimbangkan apabila vape turut menjadi kegilaan pelajar sekolah dan golongan belia yang beranggapan menghisapnya lebih bergaya serta mengikut aliran semasa.


“Ini jelas lari daripada konsep asal apabila rokok elektronik (eCig) didakwa boleh mengurangkan ketagihan dan kebergantungan kepada rokok.

“Siasatan dilakukan mendapati berlaku penyeludupan nikotin dalam bentuk pepejal atau serbuk dari luar negara oleh pengusaha vape berikutan nikotin diharamkan untuk dijual di dalam negara,” katanya.

Dia berkata, nikotin dalam bentuk pepejal dilarutkan dan dicampur dengan pelbagai perisa vape serta dijual semurah RM10 sebotol.

“KKM sebelum ini mendefinisikan peranti elektronik yang mengandungi nikotin dirujuk sebagai rokok elektronik (eCig), sementara yang tidak mengandungi nikotin adalah dirujuk sebagai vape.

“Namun kini peniaga vape sengaja mencampurkan nikotin bagi meraih keuntungan besar daripada pembeli termasuk golongan remaja,” katanya.

Berdasarkan analisis dan ujian Makmal Toksikologi, Pusat Racun Negara sebelum ini, rokok elektronik atau vape mengandungi nikotin sehingga 4 miligram (mg) dalam 1 mililiter (ml) cecair. Ini bermakna setiap botol mengandungi 25 ml cecair rokok elektronik akan mengandungi sehingga 100 mg nikotin.

Menurutnya, berdasarkan ujian makmal, cecair perisa atau flavour vape dihasilkan dari empat bahan utama iaitu nikotin, Propylene Glycol (PG), Vegetable Glycerin dan bahan perisa serta pewarna.

“Kandungan nikotin yang tinggi digunakan bukan hanya menyebabkan ketagihan, malah boleh menyebabkan gangguan pada perut dan usus, sawan dan kegagalan pernafasan hingga boleh membawa maut.

“Manakala Propylene Glycol (PG) boleh menyebabkan penyakit asma dan iritasi kepada sistem pernafasan seseorang selain punca penyakit kanser,” katanya.


CECAIR nikotin di dalam vape yang diharamkan KKM.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Oktober 2019 @ 6:50 AM