Marquez (93) memaut motosikal Hafizh (55) pada GP Jepun. FOTO Youtube
Saiful Affendy Sapran


"INSIDEN itu berlaku secara spontan sebab ketika itu semua pelumba hanya lalu dan tidak membantu.

"Saya hanya fikir hendak bantu (Marc) Marquez bagi membolehkannya lebih cepat sampai ke podium."

Demikian cerita pelumba MotoGP negara, Hafizh Syahrin Abdullah mengenai insidennya menunda jentera Repsol Honda milik Marquez yang mengalami masalah bahan bakar selepas tamat perlumbaan Grand Prix (GP) Jepun kelmarin yang kemudian tular di media sosial di seluruh dunia.

Jelas pelumba yang mendapat gelaran El Pescao itu bantuannya juga adalah sebagai tanda semangat setia kawan antaranya dengan Marquez.

Marquez ketika itu memenangi perlumbaan dan perlu membawa jenteranya segera ke podium di Litar Twin Ring Motegi manakala Hafizh menamatkan saingan di kedudukan ke-19 bersama Red Bull KTM Tech 3.


Hafizh Syahrin Abdullah. FOTO NSTP

"Saya berterima kasih kepada semua pihak yang menghargai apa saya lakukan kepada juara dunia lapan kali itu.

"Sebenarnya saya dengan Marquez tidak mempunyai sebarang masalah dan saling bertegur sapa.

"Walaupun dia seorang juara dunia, Marquez masih lagi bersikap merendah diri. Saya ambil sikap positif yang dipamerkannya itu," katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Hafizh juga berharap apa yang dilakukannya itu dapat menjadi contoh dan inspirasi kepada atlet lain untuk berpegang kepada prinsip semangat kesukanan.

"Mungkin setiap pelumba bersaing di dalam litar tetapi di luar kami tetap berkawan.

"Mungkin juga dengan sedikit bantuan ini saya akan mendapat pahala. Apapun saya berpegang kepada prinsip jika satu hari kita membantu orang, insya-Allah di kemudian hari orang akan membantu saya pula," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Oktober 2019 @ 2:02 PM