PENGANGGUR, K Sathiaraj, 27, didakwa di Mahkamah Majistret dan Mahkamah Sesyen Ampang, hari ini atas tiga pertuduhan membunuh, merogol dan melakukan seks luar tabii terhadap wanita warga emas berusia 85 tahun yang ditemui mati dengan kedua tangannya diikat di pangsapuri Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Kampung Tasik Tambahan, bulan lalu. FOTO Mahzir Mat Isa
Sarah Zulkifli


PENGANGGUR didakwa di Mahkamah Majistret dan Mahkamah Sesyen Ampang, hari ini atas tiga pertuduhan merogol, melakukan seks luar tabii dan membunuh wanita warga emas berusia 85 tahun, bulan lalu.

Bagaimanapun, tiada pengakuan diambil daripada K Sathiaraj, 27, selepas pertuduhan bunuh dibacakan dalam bahasa Melayu di hadapan Majistret Haslinda A Raof.

Ini berikutan kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Sathiaraj dilihat tunduk sepanjang prosiding itu dan hanya mengangguk faham di dalam kandang tertuduh.

Mengikut pertuduhan pertama, lelaki itu didakwa membunuh Wong Chooi, 85, di No 104, Blok 1, pangsapuri Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Kampung Tasik Tambahan, antara 11.40 pagi dan 1.00 petang, pada 19 September lalu.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (KK) yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika disabit kesalahan.

Sementara itu, di hadapan Hakim Norhazani Hamzah, tertuduh sama mengaku tidak bersalah atas pertuduhan merogol dan melakukan seks luar tabii terhadap mangsa sama selepas dua pertuduhan dibacakan dalam bahasa Tamil.

Mengikut pertuduhan kedua dan ketiga, dia didakwa melakukan kedua-dua perbuatan itu terhadap Wong pada tarikh, masa dan tempat sama.

Dakwaan kedua-dua kes dilakukan mengikut Seksyen 376 (1) KK (Akta 574) dan Seksyen 377C KK yang masing-masing memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat, jika disabit kesalahan.

Dalam prosiding itu, pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya S Sangitaa dan Raihanah Abd Razak, manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.

Terdahulu, Sangitaa dan Raihanah masing-masing tidak menawarkan sebarang jaminan kerana kesalahan yang tidak boleh dijamin.

Mahkamah kemudian tidak membenarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh dan menetapkan 18 Disember depan sebagai sebutan semula kes.

Sebelum ini, media melaporkan warga emas ditemui mati dengan kedua tangannya diikat di pangsapuri PKNS.

Dalam kejadian kira-kira 5 petang itu, wanita yang berusia 85 tahun itu dijumpai dalam keadaan tertiarap oleh anak keduanya yang pulang dari bekerja.

Jiran mangsa yang enggan dikenali berkata, anaknya yang berusia 61 tahun menetap bersama wanita berkenaan sejak 10 tahun lalu selepas bapanya meninggal dunia.

Berita berkaitan:

  • Mati tertiarap, dua tangan diikat
  • Nenek mungkin diserang secara seksual
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Oktober 2019 @ 1:49 PM