INDIVIDU tular didakwa setiausaha kepada Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
Yusmizal Dolah Aling


DALAM dunia politik, fitnah dan gosip berpisah tiada. Itu reaksi Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang menafikan dakwaan beliau melantik seorang setiausaha daripada golongan transgender seperti tular di media sosial.

Katanya, khabar angin menerusi video itu bukanlah seperti didakwa dan orang ramai boleh membuat semakan menerusi portal atau bertanya dengan pegawai tinggi di kementeriannya sendiri.

Menurutnya, ‘wanita’ itu datang dalam satu kumpulan dan berbincang mengenai e-Sports selama 30 minit, namun yang ditimbulkan ialah isu transgender, pondan dan ia tiada kaitan dengan pertemuan itu.

“Saya dengar berita tular bahawa dia datang jumpa saya dikatakan transgender sampai guna perkataan pondan. Saya tak tahu kenapa orang fokus kepada dia dan bukan enam lagi yang datang bersama,” katanya kepada media di lobi Parlimen, hari ini.

Ahli Parlimen Muar itu berkata, dia dimaklumkan individu terbabit mempunyai dua anak kandung dan itu memberikan jawapan kepada isu dibangkitkan netizen.

Semalam, tular satu video berdurasi satu minit menunjukkan Syed Saddiq mengadakan pertemuan dengan seorang wanita cantik di pejabatnya yang mengundang pelbagai reaksi di media sosial.

Ada mengaitkannya sebagai setiausaha menteri, ahli perniagaan dan mendakwa dia adalah transgender dan hangat dibincangkan di pelbagai platform.

Antara komen di media sosial termasuk wanita bernama ‘Cleopatra’ itu seorang transgender yang bekerja dengan Syed Saddiq dan memuat naik gambar lesen memandu kononnya dia seorang lelaki.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Oktober 2019 @ 2:43 PM